Caption: RASMI...Mong (dua kiri) bersama Harden (kiri sekali), Masir (dua kanan) dan Tr Serit (kanan) ketika bergambar kenangan di hadapan Mesin Pelerai Padi pada majlis itu.
SRI AMAN, Khamis (20 Jan) – Pendapat golongan generasi baru boleh dianggap tidak tepat jika mereka yakin bahawa menukar kerajaan adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam negeri ini selepas pilihan raya kelak.
Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang berkata perkara ini terbukti apabila Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama masih gagal menyelesaikan kemelut ekonomi dalam negaranya sendiri walaupun beliau dipilih oleh golongan generasi baru untuk tujuan itu sehingga sekarang.
“Golongan muda di sana (AS) berpendapat bahawa menukar kerajaan akan dapat menyelesaikan semua perkara namun tindakan mereka ternyata tidak berkesan apabila Obama masih gagal menyelesaikan krisis ekonomi ke tahap yang dituntut oleh mereka hingga sekarang.
“Justeru saya menasihat golongan generasi muda untuk tidak bertindak melulu berhubung perkara ini. Internet sememang menyediakan banyak berita namun ia terpulang kepada mereka tentang bagaimana mahu mentafsir maklumat itu secara profesional selepas ini,” katanya.
Mong yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Info Bestari dan perasmian mesin pelerai padi bertempat di Rumah Romeo Serit anak Menggong, Munggu Demam, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.
Selain itu Mong juga melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah pekerja luar negara (offshore) yang bertindak menghasut penduduk rumah panjang masing-masing untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika berlangsung pilihan raya.
“Golongan ini tidak akan memberi anda (penduduk) ‘makan’ pada setiap hari walaupun mereka berpendapatan tinggi kerana kepulangan mereka ketika menjelang pilihan raya hanya mahu memperalat penghuni rumah panjangnya bagi tujuan politik.
“Yang hanya mampu memberi anda ‘makan’ sebenarnya hanyalah kerajaan BN. Oleh itu saya meminta semua penduduk rumah panjang untuk menolak dakyah kumpulan ini menjelang pilihan raya negeri kelak,” katanya lalu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 untuk Rumah Romeo Serit.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachiro Ferdianshah Abdillah, wakil Jabatan Pertanian Sri Aman, Chana Langkan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment