Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 January, 2011

ROS tolak kewujudan pertubuhan yang cuba risik keselamatan negara


Caption: SERIUS...Loo (tengah) sambil diapit oleh Fison (kiri) ketika menerangkan perkara berkaitan ROS kepada pemberita sebaik sahaja tamat majlis.


BETONG, Sabtu (22 Jan) – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau ROS menolak kemungkinan wujudnya mana-mana pertubuhan atau persatuan yang cuba merisik soal keselamatan dalam negeri ini pada masa sekarang.

Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Loo Yeng Peng berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita mengenai perkara itu pada sidang media selepas tamat Kursus Pengurusan Pertubuhan Siri 1 / 2011 bertempat di Menara Utama, Kompleks Kerajaan Negeri, Betong hari ini.

“Setakat ini belum ada mana-mana persatuan yang berdaftar dengan ROS bertindak melaksanakan kajian mengenai isu keselamatan dalam negara ini khasnya di Sarawak.

“Jika ada pun mungkin persatuan yang tidak berdaftar dengan ROS yang telah bertindak demikian. Bagaimanapun pihak kita belum menerima sebarang laporan mengenai perkara seumpama ini di Sarawak pada masa sekarang,” katanya.

Selain itu pihak ROS kata Loo juga akan bertindak lebih proaktif untuk mewujudkan persatuan yang mampu memberi maklumbalas lebih berkesan terutama sekali terhadap isu pembangunan negara selepas ini.

Ini kerana pertubuhan menurut beliau dianggap oleh kerajaan sebagai satu mekanisme penting bagi mengetahui keberkesanan perlaksanaan dasar terhadap penduduk menerusi maklumbalas pertubuhan selepas itu.

“ROS tidak mahu lagi dianggap sebagai organisasi statik. Kita mahu turun padang mendekati penduduk dan seterusnya mewujudkan pertubuhan yang boleh membantu menaiktaraf hidup mereka di masa akan datang,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah JPPM, Haji Fison bin Yahaya, Pengarah JPPM Sarawak, Ken Leben, Timbalan Setiausaha Bahagian Keselamatan Dalam egerui, Wong Lee Hua dan James Anggat iaitu Setiausaha Sulit Kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Seri Douglas Uggah Embas.

Terdahulu Kursus Pengurusan Pertubuhan Siri 1 / 2011 anjuran JPPM Sarawak yang melibatkan penyertaan lebih 300 individu dari 44 buah persatuan ini telah dikendalikan oleh Joseft Unsong, Edwin Ranchang dan Maimunah Rosli.

Terdapat sejumlah 109,000 buah pertubuhan yang telah berdaftar di seluruh Malaysia pada masa sekarang. Sejumlah 2,792 buah pertubuhan di Sarawak telah berdaftar dengan ROS bermula dari tahun 2005 hingga 2010.

Tamat.

No comments:

Post a Comment