Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2011

Semai budaya gotong royong antara JKKK


Caption: TERIMALAH...Harden menyampaikan insentif kepada seorang wakil penerima sambil disaksikan oleh Kinchai (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (30 Okt) –  Budaya gotong-royong antara Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam sesebuah kawasan akan membolehkan pertubuhan itu menjadi lebih maju dari segi perolehan ekonomi dan sosial selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata satu contoh amalan gotong-royong yang perlu diamalkan ialah ketika berlangsungnya sesebuah majlis makan malam anjuran JKKK tertentu.

“Sesebuah JKKK itu akan memperoleh sumber kewangan mereka sendiri dengan menjemput lain-lain JKKK bagi menghadiri majlis rasmi seperti makan malam yang dianjurkan oleh mereka.

“Selepas itu JKKK terbabit boleh menghadiri majlis yang dianjurkan oleh lain-lain JKKK. Amalan seperti ini haruslah diulang-ulang sehingga semua JKKK memperoleh manfaat yang sama hasil dari aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Penubuhan Ke-11 JKKK Jalan Kampung Belimbing di sebuah restoran di sini baru-baru ini.

Selain itu Harden juga mengalakkan JKKK untuk lebih berdikari dalam mewujudkan sumber kewangan masing-masing dengan melaksana pelbagai aktiviti yang boleh menjana pendapatan mereka sendiri.

“Mungkin JKKK terbabit boleh melaksana projek pertanian mereka sendiri atau Industri Kecil Sederhana (IKS) di kawasan masing-masing demi menjana sumber kewangan mereka sendiri di masa akan datang.

“Justeru saya yakin bahawa JKKK terbabit akan menjadi lebih cepat maju dengan adanya usaha seperti ini disamping pemberian Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar atau MRP yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat mereka selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi JKKK Kampung Jalan Belimbing, Max Kinchai Mual, Naib Pengerusinya, George Enggung, Ketua Biro Wanita, Jennifer, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Simanggang, Vincent Roy dan ketua kaum di sini.

Harden menerusi itu menyerahkan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada JKKK Kampung Jalan Belimbing disamping mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK terbabit bagi tahun 2012.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian insentif pelajaran, nyanyian lagu karaoke, persembahan suara emas dan upacara memotong kek Ulang Tahun Penubuhan JKKK Jalan Kampung Belimbing.

Tamat.


Taman Hijrah, Simunjan tubuh KRT


Caption: SEDIA BERKHIDMAT...Naim (duduk tiga kanan) bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa KRT Taman Hijrah, Simunjan sebaik sahaja selesai mesyuarat terbabit.

SIMUNJAN, Ahad (30 Okt) – Fokus mengenai kawalan masalah sosial dan keselamatan penduduk dalam kawasan Taman Hijrah, Simunjan akhirnya dipertingkat dengan adanya penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di situ kelmarin.

Penubuhan KRT Taman Hijrah, Simunjan yang dibentuk menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa sementara itu menyaksikan Abang Naim Abang Pauzi dipilih sebagai ketua KRT terbabit.

Naim ketika ditemui memberitahu objektif utama penubuhan KRT berkenaan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan perpaduan dan tali silaturrahim di kalangan penduduk melalui aktiviti sosial dari masa ke semasa.

“Kita yakin bahawa KRT Taman Hijrah Simunjan mampu menghimpunkan semua penduduk di bawah satu bumbung untuk sama-sama bekerjasama demi memastikan kemajuan kampung.

“Malahan penubuhan KRT ini juga secara tidak langsung mewujudkan semangat kekitaan dikalangan penghuni Taman Hijrah, Simunjan dalam sama-sama menyahut seruan 1 Malaysia selepas ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar penubuhan KRT berkenaan akan dapat membantu mengawal serta membenteras sebarang aktiviti sosial yang kurang sihat dalam kawasan Taman Hijrah di masa akan datang.

“Kita menerusi KRT Taman Hijrah berharap agar dapat mengawal para belia daripada menjebakkan diri dalam aktiviti sosial tidak sihat dengan bantuan pihak polis mahupun pasukan RELA.

“Kita akan lakukan ini semua demi memastikan keharmonian dan keselamatan Taman Hijrah, Simunjan sentiasa terpelihara serta memberi manfaat kepada penghuni di sini dari masa ke semasa,” katanya.

Penghulu Kawasan Simunjan iaitu Raili bin Alias turut hadir sama ketika berlangsungnya mesyuarat penubuhan jawatankuasa sementara KRT Taman Hijrah di surau taman berkenaan.

Tamat.

Program Jiwa Murni di Kampung Gayau dapat sambutan - Hasagaya

Mugshot: HASAGAYA ABDULLAH
PANTU, Ahad (30 Okt) – Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia telah melaksanakan sejumlah 53 buah Program Jiwa Murni bagi sepanjang tahun 2011 demikian menurut panglimanya, Brigadier Jeneral Hasagaya Abdullah.
Katanya kesemua 53 buah Program Jiwa Murni yang berlangsung bagi sepanjang tahun ini telah dilaksanakan oleh Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia dalam kawasan Kuching, Sri Aman, Betong dan juga Sarikei.
“Program Jiwa Murni ini memberi fokus terhadap penyediaan khidmat kesihatan dan rawatan pergigian kepada seluruh golongan masyarakat di keempat-empat kawasan berkenaan.
“Lagipun Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia akan mengadakan dua lagi Program Jiwa Murni iaitu satu di Sri Aman dan satu lagi di Lubok Antu sebelum berakhirnya tahun 2011 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa Murni 2011 yang berlangsung di Kampung Gayau, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman kelmarin.
Selain itu Hasagay juga melahirkan rasa puashati terhadap maklumbalas yang amat menggalakan daripada masyarakat berhubung perlaksanaan Program Jiwa Murni yang diadakan oleh pihaknya selama ini.
“Angkatan Tentera Malaysia bukan sahaja memberikan perkhidmatan kesihatan dan pergigian percuma malah turut mneydiakan khidmat pengangkutan bagi penduduk luar bandar yang tinggal jauh dan sukar untuk datang ke program tersebut.
“Justeru Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia bercadang untuk meneruskan penganjuran Program Jiwa Murni di kawasan dalam negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Tamat.

Si aweks diarah majikan berhenti kerja sebab selalu gaduh dengan pakwe


SRI AMAN, Ahad (30 Okt) – Siri pertelingkahan berterusan antara pasangan kekasih yang dilaporkan sering berlaku di sebuah bilik sewa dalam kawasan pusat Bandar Sri Aman akhirnya selesai apabila si isteri diarahkan berhenti kerja oleh majikannya pada hari ini.

Terdahulu pasangan kekasih berkenaan dilaporkan sering bergaduh di dalam bilik sewa berkenaan antara jam 2 hingga 4 pagi sehingga ia menarik perhatian lain-lain penghuni yang turut menyewa di bangunan tersebut.

Pertelingkahan pertama dahulu telah menyebabkan semua penghuni ‘pasang telinga’ sehingga mereka tidak lagi mengambil endah berhubung pertelingkahan yang melibatkan pasangan kekasih selepas itu.

“Pertelingkahan berterusan ini menyebabkan majikan kepada perempuan terbabit mengambil keputusan untuk memberhentikannya daripada bekerja di premis perniagaan miliknya.

“Mungkin majikan perempuan terbabit sudah mengetahui punca pergaduhan terbabit dan justeru itu tidak mahu melihat berlakunya pertelingkahan berterusan di antara kedua-dua mereka berhubung pekerjaan terbabit,” kata sumber.

Kali terakhir kedua-dua pasangan itu dilaporkan bergaduh ialah pada malam hari Jumaat lepas dengan bunyi bising akibat hentakan pintu dan dinding menyebabkan lain-lain penghuni di situ terbangun dari tidur masing-masing.

“Kami sudah biasa mendengar bunyi pertelingkahan daripada mereka berdua. Namun kami turut bersimpati apabila kekasih perempuannya terpaksa berhenti kerja demi menyelamatkan keadaan,” kata seorang penghuni yang lain.

Beliau berpendapat bahawa keadaan seperti ini perlu mendapat kefahaman antara kedua-dua pihak memandangkan kekasih perempuannya bekerja demi memperoleh pendapatan sendiri.

“Kawasan bangunan ini akan kembali sunyi semula seperti dahulu. Ada baiknya juga perempuan itu berhenti demi menyelamatkan keadaan walaupun niat beliau untuk bekerja untuk mencari rezeki adalah baik,” katanya.

Tamat.

Jambatan gantung SK Nanga Klassen bawa seribu kenangan

Caption: TINGGAL KENANGAN...Jambatan gantung ini masih merentangi Sungai Nanga Klassen dan memberi seribu kenangan terhadap penduduk dan kakitangan sekolah di situ.

SRI AMAN, Sabtu (29 Okt) – Hanya tinggal kenangan. Itulah ungkapan yang boleh digambarkan terhadap jambatan gantung yang merentangi Sungai Nanga Klassen, Sri Aman pada masa sekarang.

Jambatan gantung yang berusia lebih dari 40 tahun ini pernah berfungsi sebagai laluan perhubungan dan pengangkutan yang amat penting dikalangan penduduk kampung dan sekolah di situ pada suatu masa dahulu.

“Jambatan gantung yang merentangi Sungai SK Nanga Klassen ini sudah wujud ketika Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi artis pujaan ramai dikalangan penduduk Sarawak.

“Di sini anda boleh bayangkan betapa lamanya jambatan gantung terbabit telah menyumbangkan jasanya kepada penduduk di Nanga Klassen dan juga sekolah di sini,” kata seorang penduduk di situ.

Ia menjadi laluan utama dikalangan murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen yang sering berulang-alik dari sekolah ke rumah ketika berlangsung waktu persekolahan atau ketika berlangsung aktiviti penting di situ.

Bagaimanapun keuzuran jambatan gantung ini nyata memberi kebimbangan terhadap semua pihak lebih-lebih lagi dikalangan ibubapa murid dan para guru yang berkhidmat di SK Nanga Klassen.

Sudahnya pokok penahan jambatan gantung terbabit kian tumbang, kegusaran penduduk semakin meningkat apabila struktur kayu terbabit mula mereput dengan kabel besi jambatan gantung itu kian berkarat.

Paling tidak dapat dilupakan ialah apabila SK Nanga Klassen terpaksa ditutup buat sementara waktu sekitar musim banjir pada bulan Ogos tahun lepas apabila air sungai naik mendadak dan menenggelamkan jambatan gantung terbabit.

Namun kini jambatan gantung terbabit hanya tinggal kenangan setelah ia tidak lagi digunakan oleh penduduk dan kakitangan sekolah semenjak kerajaan membina jambatan baru berharga lebih RM400,000 pada masa sekarang.

Jambatan gantung terbabit masih lagi merentangi Sungai Nanga Klassen hingga ka masa sekarang dan semestinya menyimpan pelbagai nostalgia serta sejarah silam dikalangan penduduk serta kakitangan sekolah di situ.

Tamat.

Hantar profail JKKK dua kali setahun kepada Pejabat D.O - Harden

Caption: UNTUK ALBUM...Harden bergambar kenangan bersama Kinchai (kanan) dan ahli JKKK Jalan Kampung Belimbing sebaik sahaja menyempurnakan pemotongan kek ulang tahun penubuhan JKKK berkenaan malam tadi.


SRI AMAN, Sabtu (29 Okt) – Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa agar menghantar profail lengkap sekurang-kurangnya dua kali setahun kepada Pejabat Daerah dalam kawasan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata ia bertujuan untuk membolehkan pihak Pejabat Daerah memantau aktiviti JKKK terbabit dari masa ke semasa.

“Menerusi profail terbabit, setiap JKKK dinilai berdasarkan kepada prestasi mereka dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan juga cara mereka menggunakan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat sebelum itu.

“JKKK yang didapati aktif berdasarkan kepada penilaian menerusi profail terbabit akan membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mereka disamping melaksana pelbagai program di situ pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-11 penubuhan JKKK Kampung Jalan Belimbing di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu JKKK yang gagal menghantar profail lengkap kepada Pejabat Daerah kata Harden akan menyebabkan mereka ketinggalan berbanding dengan JKKK yang aktif berbuat demikian.

“Justeru saya berharap pihak JKKK khasnya di Sri Aman untuk lebih serius menghasilkan profail masing-masing ke arah mewujudkan kawasan penempatan cemerlang dari segi pembangunan selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi JKKK Kampung Jalan Belimbing, Max Kinchai Mual, Naib Pengerusinya, George Enggung, Ketua Biro Wanita, Jennifer, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Simanggang, Vincent Roy dan ketua kaum di sini.

Harden menerusi itu menyerahkan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada JKKK Kampung Jalan Belimbing disamping mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK terbabit bagi tahun 2012.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian insentif pelajaran, nyanyian lagu karaoke, persembahan suara emas dan upacara memotong kek Ulang Tahun Penubuhan JKKK Jalan Kampung Belimbing.

Tamat.

TBS salur bantuan kewangan kepada masjid dan surau di Spaoh, Betong

Caption: TERIMALAH...Shamsul (kiri) menyerahkan cek bantuan kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.


SPAOH, Sabtu (29 Okt) - Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah menyalurkan bantuan untuk aktiviti keagamaan, keraian Islam, seminar dan pendidikan Islam di Masjid Darul Syifa’, Spaoh, Betong baru-baru ini.

Bantuan mencakupi bantuan kelengkapan asas masjid serta surau itu telah diagihkan kepada pihak pengurusan Surau ar-Rahman Kampung Hulu Perpat, Masjid Darul Ehsan Manggut, Tabung Amanah Khairat Kampung Hulu Pusa, SK Spaoh dan SK Bungin.

Pengurus cawangannya, Shamsul Bahri Manap berkata bahawa TBS sentiasa mendokong  usaha menitikberatkan aspek pembelajaran dan penerapan ilmu-ilmu agama di masjid, surau dan premis-premis kerajaan setempat.

“Lagipun bantuan wang dari Dana Zakat dan Baitulmal kepada pihak pengurusan ini adalah amat penting agar ia dapat diaplikasi  secara telus dalam proses pendidikan Islam dan profesional pada masa akan datang.

“Justeru pihak pengurusan masjid serta surau disaran agar dapat menambahbaik atau mengaktifkan perjalanan aktiviti agama dengan tidak hanya bergantung kepada aktiviti kebudayaan seperti kelas hadrah (kompang) atau Berzikir (Barzanji),” katanya.

Shamsul juga turut memaklumkan organisasi yang mahu memohon bantuan daripada TBS perlulah menyatakan surat rasmi permohonan, kertas kerja lengkap dan satu salinan akaun organisasi bagi memudahkan urusan pemprosesan permohonan terbabit.

“Pada masa yang sama saya mahu mengingatkan penduduk Islam yang berkemampuan agar sentiasa menunaikan Zakat Harta mereka sama ada dalam bentuk penggajian, simpanan saham dan tanaman agar keberkatan harta dapat diperolehi di samping ganjaran pahala selepas ini,” katanya.

Tamat.


29 October, 2011

MDSA pelawa orang ramai pohon kekosongan gerai di Market Dua Tingkat Sri Aman


Mugshot: NELSON MUJAH GIRIE

SRI AMAN, Jumaat (28 Okt) – Orang ramai dipelawa untuk mengisi kekosongan di Gerai Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) mulai sekarang demikian menurut setiausahanya Nelson Mujah Girie.

Katanya kekosongan gerai MDSA yang terbuka kepada semua pemohon berkenaan terdapat di Market Dua Tingkat (berdekatan Stesen Bas Sarawak Transport Corporation) iaitu bagi kawasan tingkat atas dan bawah.

Bagi tingkat bawah, gerai kosong yang dibuka kepada permohonan orang ramai ialah gerai ikan (nombor 4 – 7, 10 – 15), gerai tauhu (nombor 20), gerai sayur (nombor 25 – 28, 32), gerai ikan masin (nombor 50, 51) dan gerai daging lembu (nombor 52, 53).

Katanya terdapat sejumlah 10 kekosongan bagi gerai ikan, satu kekosongan untuk gerai tauhu, lima kekosongan untuk gerai sayur, dua kekosongan untuk gerai ikan masin dan dua kekosongan untuk gerai daging lembu.

Sewa suku tahunan bernilai RM90 katanya ditetapkan bagi gerai ikan, daging lembu dan sayur manakala sewa suku tahunan bernilai RM60 ditetapkan bagi gerai ikan masin serta tauhu.

Manakala itu bayaran lesen tahunan bernilai RM120 kata beliau telah ditetapkan oleh pihak majlis bagi kesemua lima jenis gerai berkenaan.

Bagi kawasan tingkat atas pula gerai kosong yang dibuka permohonannnya kepada orang ramai ialah gerai masakan makanan (nombor 4, 7, 14, 16, 18) dan gerai minuman (nombor 5).

Kata Mujah, terdapat sejumlah enam kekosongan bagi gerai masakan makanan dengan sewa suku tahunan bernilai RM150 serta bayaran lesen tahunan sebanyak RM180 dan satu kekosongan bagi gerai minuman dengan sewa suku tahunan bernilai RM60 serta bayaran lesen tahunan sebanyak RM120.

Justeru mereka yang berminat katanya boleh mendapatkan borang PK-KASKA-PBT-BKA (L) 01 dan dikembalikan semula setelah lengkap diisi kepada Setiausaha MDSA pada atau sebelum 4 November depan.

“Syarat-syarat permohonan boleh didapati daripada Unit Pelesenan, Bahagian Kesihatan Awam, Pejabat MDSA bagi tujuan itu mulai sekarang,” kata Mujah.

Tamat.

Lepas mabuk, tumbuk!


SRI AMAN, Jumaat (28 Okt) – Kegagalan mengawal diri ketika meminum arak telah menyebabkan berlakunya satu pergaduhan di belakang kawasan sebuah restoran makanan dalam pusat bandar ini malam tadi.

Sebelum berlakunya kejadian itu, dua orang lelaki sedang menikmati minuman keras di sebuah meja bawah bangunan berdekatan restoran itu sekitar jam 7 malam sebelum disertai oleh rakan-rakan mereka yang lain.

Bagaimanapun sekitar jam 10 malam, kumpulan lelaki berkenaan tiba-tiba bertengkar di antara satu sama sebelum berlakunya adegan kejar-mengejar di antara mereka di belakang restoran berkenaan.

“Sebahagian daripada lelaki yang berada di bawah bangunan itu cuba menyelesaikan pertengkaran di antara satu sama lain sebelum kesemua mereka bersurai 10 minit selepas itu.

“Saya tidak tahu sama ada mereka cedera atau tidak. Namun yang pastinya kejadian terbabit telah menyebabkan selipar berharga mereka tertinggal di atas kawasan jalan berkenaan,” kata seorang penghuni yang menyaksikan kejadian itu.

Sebahagian daripada penghuni yang menyaksikan kejadian itu katanya bertindak mengambil selipar berharga yang ditinggalkan oleh kumpulan berkenaan sebaik sahaja berlaku kejadian berkenaan.

“Ia merupakan ‘ganti rugi’ bagi penghuni di sini berhubung tindakan mereka mencetuskan keadaan bising dan kacau-bilau sehingga menyebabkan anak-anak kami sukar untuk tidur.

“Nasihat kami kepada mereka ialah jangan minum arak di kawasan berpenghuni. Mereka seharusnya memilih rumah mereka sendiri sekiranya mahu berbuat demikian pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.

Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong adakan Hari Keluarga

Caption: UNTUK ALBUM...Kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong bergambar kenangan bersama guru mereka ketika berlangsung program terbabit baru-baru ini.

KABONG, Jumaat (28 Okt) - Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong telah mengadakan Hari Keluarga untuk semua ahli jawatankuasa serta keluarga kanak-kanak yang belajar di taman didikan tersebut baru-baru ini.

Program yang berlangsung di pantai Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit, Kabong dan disertai seramai 100 orang peserta itu bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara ibubapa kanak-kanak tabika terbabit.

“Ia secara tidak langsung juga akan memberi peluang kepada guru-guru tadika untuk membimbing serta mendidik kanak-kanak tabika berkenaan dengan lebih berkesan dari masa ke semasa,” kata jurucakap penganjur.

Selain itu pantai SK Kampung Alit Kabong katanya telah dipilih sebagai tempat riadah memandangkan kawasan pantai terbabit adalah cantik dan selamat bagi tujuan perlaksanaan program itu.

Lokasi yang sudah dinaiktaraf itu katanya amat sesuai bagi mengembangkan daya pemikiran kanak-kanak sesuai dengan pendedahan mereka terhadap keindahan alam sekitar di negeri ini.

“Lagipun anak-anak akan mencari haluan sendiri tanpa memikirkan masalah yang bakal timbul dalam melakukan sebarang aktiviti sekiranya mereka tidak dibentuk dari peringkat tabika selepas ini,” katanya.

Justeru katanya anak-anak haruslah dibentuk dengan pendidikan yang sempurna bermula peringkat tabika mulai sekarang agar mereka dapat menyumbangkan terhadap pembangunan negara di masa akan datang.

Sementara itu Penyelia Prasekolah, Pejabat KEMAS Daerah Betong, Norziyanti Tenang ketika berucap ringkas pada majlis itu berharap agar ibubapa bekerjasama dengan pihak tabika untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang selepas itu.

Turut sama menyertai program itu ialah Penyelia Perhubungan 3P, Pejabat KEMAS Daerah Betong, Dayang Madinah Abang Yaman.

Terdahulu Kumpulan Biru telah menjuarai aktiviti sukaneka tersebut dengan Kumpulan Merah, Oren dan Hijau masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat dalam acara sukaneka.

Syarikat SINGER NC Enterprise Saratok dan SINGER JK Enterprise Betong telah menyumbang hadiah berupa barangan peralatan elektrik seperti kipas angin berdiri, periuk nasi dan mesin pengisar disamping baucer pembelian bernilai RM100 dan RM50.

Tamat.

Ricky peminat buah pauh

BEGINI CARANYA...Ricky Abang Lom, 34, dari Rumah Hearold, Selantik Ili, Pantu, Sri Aman sedang memotong buah pauh muda yang dipetik dari kawasan jirannya hari ini. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Umpek dikalangan penduduk kampung memberitahu buah pauh muda perlu direndam terlebih dahulu untuk menghilangkan getah yang terdapat sekeliling kulit sebelum ia boleh dibelah bagi tujuan ulaman. Buah pauh katanya enak dimakan bersama kulit namun ia bergantung kepada citarasa pengemarnya sendiri sama ada mahu mengupas kulitnya terlebih dahulu atau tidak. Musim buah pauh kini sedang melanda kawasan perkampung berkenaan dengan harga jualannya boleh mencecah RM5 sekilogram sekiranya dijual. - 28 Oktober

28 October, 2011

Karnival CNI di Sri Aman pada hari Sabtu ini (29 Oktober)

Mugshot: SHELLYNA THIEN...Mali datang belamai-lamai ah ini Sabtu

SRI AMAN, Khamis (27 Okt) – Orang ramai dijemput untuk memeriahkan sambutan Karnival Creative Network International CNI yang akan berlangsung di Pusat Edaran CNI Sri Aman pada 29 Oktober ini.

Pengurus Pusat Edaran CNI Sri Aman, Shellyna Thien Siew Chiang berkata pelbagai program menarik akan dirancang demi memeriahkan sambutan Karnival CNI terbabit bermula dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang hari tersebut.

Program terbabit katanya ialah Projek Komuniti Penyayang: Saringan Kesihatan Percuma, Demonstrasi Produk, Jualan Stok Penghabisan, Demo Penjagaan Kulit Dan Whyte Magic, hadiah khas Early Birds dan cabutan tiket bertuah.

Turut diadakan juga bersempena dengan karnival itu kata Thien adalah Miss Pearl 2011, Peraduan Mewarna, Penyampaian Insentif Kanak-Kanak CNI 2011, Pertandingan Nyanyian Lagu 1 Malaysia, persembahan dan permainan.

“Tujuan utama karnival ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara semua penduduk dalam kawasan Bahagian Sri Aman yang bakal hadir dalam aktiviti berkenaan.

“Malahan ia juga memberi peluang kepada semua penduduk untuk menjalani pelbagai jenis rawatan secara percuma disamping mempromosi produk kesihatan CNI kepada mereka selepas itu,” katanya.

Justeru Thien berharap agar penduduk tidak melepaskan peluang terbabit untuk berkunjung ke Karnival CNI 2011 yang berpusat di alamat No.6 Jalan Hospital, Sri Aman (bangunan Peach Court) pada tarikh dan waktu yang dinyatakan.

Terdahulu seramai 41 orang anak-anak ahli CNI bagi kategori Sekolah Rendah bakal menerima Insentif Pendidikan termasuk juga 15 orang penerima bagi kategori Sekolah Menengah (Tingkatan Satu hingga Lima) dan dua orang penerima dari Tingkatan Enam.

Tamat.

Koperasi Qariah boleh bantu masjid laksanakan perniagaan - Rohani

By Rosita Ampong

SRI AMAN, Khamis (27 Okt) -  Masjid serta surau di seluruh negara digalak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pernigaan melalui penubuhan Koperasi Qariah Masjid dan Surau selepas ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata ia membolehkan peranan serta aktiviti masjid dan surau tidak hanya terhad kepada aktiviti keagamaan semata-mata.
Lebih penting menurut beliau penubuhan koperasi  berkenaan akan menjadikan institusi keagamaan terbabit lebih mantap dalam menjana pendapatan masing-masing pada masa akan datang.
“Justeru saya yakin bahawa masjid dan surau dalam negara ini mampu membiayai pelbagai aktiviti demi kebaikan pembangunan ummah sekiranya mereka mampu mengurus koperasi masing-masing dengan baik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Pelancaran Projek K-Masjid Bandar Sri Aman yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman hari ini.
Rohani turut menambah kesediaan pihak kementeriannya untuk membantu mana-mana masjid atau surau yang berminat menyertai bidang perniagaan sama ada dari segi bantuan kewangan serta latihan selepas ini.
Sementara itu Rohani ketika diminta untuk mengulas mengenai penubuhan K-Masjid, berpendapat bahawa ia mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat terhadap penguasaan ilmu kemahiran bidang ICT di masa akan datang.
“Walaupun K-Masjid ditubuhkan dibawah institusi keagamaan Islam namun penduduk bukan Islam juga diberi peluang bagi sama-sama memanfaatkan kemudahan ICT tersebut,” katanya.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Jonathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh, Pengarah Perhubungan Pemasaran dan Komunikasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Rosli Mohd Yusuf dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bandar Sri Aman, Datu Abdul Rashid Abdul Aziz.
 
Terdahulu K-Masjid merupakan sebuah projek ICT yang berada di bawah pembiayaan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dikendalikan oleh MIMOS Berhad.
Sehingga kini hanya terdapat lapan buah kawasan parlimen di Sarawak yang mempunyai projek K-Masjid antaranya ialah Parlimen Petra Jaya, Kapit, Kanowit, Sarikei, Ulu Rejang, Baram, Sibuti dan Batang Lupar.

Tamat.

Maktab Rendah Sains Mara Betong lawat Rumah Ibadat Pertubuhan Agama Buddha



Caption:

1.UNTUK ALBUM...Own (tengah kanan) dan Taufiq (tengah kiri) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para ahli rombongan MRSM Betong pada program itu.

2.TERIMA KASIH...Taufiq (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Own (kanan) bersempena dengan program lawatan sambil belajar berkenaan.


BETONG, Khamis (27 Okt) – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Rumah Ibadat Pertubuhan Agama Buddha Betong di sini kelmarin.

Lawatan yang diketuai oleh Guru Penyelaras Tingkatan 3 dari maktab berkenaan iaitu Mohd Taufiq Mahadi dan Yahya ke Rumah Ibadat Pertubuhan Agama Buddha Betong itu telah disertai seramai 76 orang pelajar beragama Islam.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum dan berlainan agama semenjak negera ini mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dahulu.

“Justeru lawatan yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 1 petang ini bertujuan untuk memberikan maklumat tambahan kepada para pelajar mengenai pelbagai kepercayaan dan etnik di Malaysia khasnya di Betong,” menurut jurucakap rombongan terbabit.

Terdahulu Pengerusi Pertubuhan Agama Buddha Betong, Patrick Own telah mengalu-alukan kedatangan rombongan para guru pengiring dan pelajar MRSM Betong ketika berlangsungnya aktiviti tersebut.

Own dalam ucapannya memberitahu bahawa ia merupakan kali pertama umat Islam melawat Rumah Ibadat Pertubuhan Agama Buddha Betong yang sudah berusia 22 tahun itu.

“Saya berasa amat gembira terhadap pihak MRSM Betong kerana mengadakan program seperti ini memandangkan ia boleh menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman dikalangan pelajar mengenai agama Buddha,” katanya.

Beliau menerusi program berkenaan telah berkesempatan untuk keterangan mengenai kisah keagamaan Buddha dan aktiviti yang telah dilaksanakan oleh pihaknya bagi tahun 2009, 2010 dan tahun ini.

Terdahulu Own telah menerima cenderamata daripada pihak MRSM Betong bersempena dengan lawatan itu sebelum Pertubuhan Agama Buddha Betong menyampaikan cenderamata kepada Mohd Taufiq selaku guru rombongan pengiring maktab itu.

Tamat.

Pergerakan pemuda Chee Chuan Khor Simanggang turun padang bantu keluarga Rapu

Caption: IKHLAS...Tay (kiri) menyampaikan sumbangan wang kepada Rapu (kanan) sambil disaksikan oleh pergerakan pemuda dan ahli keluarga beliau.

Pix n Source by Alice Wee

SRI AMAN, Khamis (27 Okt) – Pergerakan Pemuda Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman telah turun padang membantu sebuah keluarga malang yang menetap di Taman Paderi, Sri Aman hari ini.

Rapu anak Itan, 40, tidak mampu bekerja untuk menyara kehidupan seorang isteri dan tiga orang anaknya yang berumur dari dua hingga 12 tahun pada masa sekarang semenjak kedua-dua belah kakinya dibedah berhubung jangkitan penyakit urat sebelum itu.

Kehilangan upaya beliau untuk berbuat demikian telah menarik perhatian pertubuhan berkenaan yang turun padang bagi menyampaikan sejumlah wang derma bernilai RM945 yang dikumpul daripada para ahli pergerakan pemuda.

“Nasib malang yang menimpa keluarga Rapu itu telah pun dimaklumkan oleh orang ramai kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman untuk tujuan tindakan lanjut.

“Justeru pihak pergerakan pemuda telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak dua bungkus beras setiap bulan kepada keluarga Rapu demi mengurangkan beban mereka selepas ini,” kata Ketua Pergerakan Pemuda pertubuhan itu, Tay Yew Hock.

Tay juga berharap agar individu berkemampuan dan badan-badan swasta yang prihatin di kawasan Sri Aman untuk turun padang bagi sama-sama membantu meringankan beban keluarga malang tersebut di masa akan datang.

Terdahulu keluarga Rapu telah menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman sebanyak RM300 sebulan bagi menampung keperluan hidup keluarga berkenaan.

Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman ini juga membolehkan keluarga malang tersebut membayar sewa rumah sebanyak RM100 sebulan dan bil air serta elektrik sebanyak RM60 sebulan.

Tamat.

26 October, 2011

Projek Fasa II Jalan Nanga Bunu, Skrang sedang dalam proses - Rayong

Caption: DARI BN...Rayong (tengah) menyampaikan cek MRP kepada Tr Empading (kiri) sambil disaksikan oleh Cassidy (kanan) dan Edwin (kiri sekali) pada majlis itu.

ENGKILILI, Rabu (26 Okt) – Projek pembinaan Jalan Raya Nanga Bunu, Skrang sepanjang 4.8 kilometer bagi peringkat Fasa II kini masih dalam proses pembinaan kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Katanya projek Jalan Raya Nanga Bunu, Skrang bagi peringkat Fasa II yang menelan kos pembinaan bernilai RM4.6 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 7 Januari tahun hadapan.

“Projek pembinaan jalan raya berturap di Nanga Bunu, Skrang  bagi peringkat Fasa II berkenaan sebenarnya memerlukan masa selama empat bulan bagi kerja terbabit siap sepenuhnya.

“Projek ini adalah merupakan kesinambungan kerja pembinaan Jalan Raya Nanga Bunu, Skrang bagi peringkat Fasa I yang sudah siap sepenuhnya baru-baru ini dengan kos pembinaan bernilai RM2.2 juta,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2011 yang berlangsung di Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang dalam daerah kecil Engkilili kelmarin.

Selain itu penduduk dari Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang menurut Rayong juga bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam menjelang bulan Januari tahun hadapan.

“Projek penyediaan bekalan elektrik 24 jam ke Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang terbabit kini sedang dilaksanakan oleh syarikat Shorefiled Sendirian Berhad dengan kos bernilai RM3.2 juta.

“Justeru saya berharap agar penduduk mengucapkan sepenuh terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah berusaha mempertingkatkan taraf hidup mereka selama ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Engkilili, Edwin Ancheh dan ketua kaum di sini.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Empading.

Tamat.

Line Dance SUPP Simanggang Club adakan lawatan ke Kampung Sabu



Caption:

1. UNTUK KENANGAN...Ketua Line Dance Rumah Ellie, Lucy (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ling (kiri) sambil disaksikan oleh ahli Line Dance yang lain pada lawatan itu.

2. MERIAH...Line Dance SUPP Simanggang menari bersama-sama dengan pelajar Line Dance Kampung Sabu ketika berlangsungnya lawatan itu.

SRI AMAN, Rabu (26 Okt) – Kelab Line Dance Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang telah mengadakan lawatan ke kumpulan pelajar Line Dance di Rumah Ellie, Kampung Sabu, Sri Aman malam kelmarin.

Pengerusinya Ling Siew Hung berkata lawatan terbabit bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini kumpulan pelajar terbabit yang pernah menerima kursus daripada kelab berkenaan bermula 1 Disember 2010 hingga minggu pertama Januari 2011 lepas.

“Seramai 35 orang ahli Kelab Line Dance SUPP Simanggang telah turun padang dalam sesi lawatan terbabit untuk meninjau hasil latihan yang pernah diterima oleh 37 orang pelajar Line Dance dari kampung berkenaan.

“Pihak kita berkesempatan untuk mengadakan aktiviti Tarian Tamil dan Tarian Koboi disamping memberi latihan tambahan kepada pelajar Line Dance dari kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu Kelab Line Dance SUPP Simanggang kata Ling juga akan mengadakan lawatan yang serupa terhadap 55 orang pelajar Line Dance dari Rumah Ringgit, Ibol, Sri Aman pada 11 Disember depan.

Justeru beliau berharap lawatan terbabit akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara semua ahli disamping memperkenalkan pelbagai jenis tarian berbilang kaum yang terdapat dalam negeri ini pada masa akan datang.

Terdahulu kelab terbabit telah menjayakan sesi lawatan ke Kumpulan Line Dance Sabah pada 11 Mac lepas, Line Dance Raining Kuching (11 Mei) dan Line Dance Kuching (11 Julai) disamping menjayakan Kuching Day Dance Gathering (11 Ogos) serta Ulangtahun Pertama Line Dance Group Saratok (25 September).

Kelab Line Dance SUPP Simanggang yang ditubuhkan pada 10 Oktober 2006 dan mempunyai 150 ahli itu akan mengadakan Sambutan Ulangtahun Ke-5 penubuhan kelab itu pada 11 November ini.

Tamat.


Pelihara pusat pelancongan bersejarah - Talib

Caption: TERIMALAH...Talib (kiri) menyerahkan alatan gotong-royong kepada Johnathan (kanan) sambil disaksikan oleh Harden (belakang kiri) dan Pahon (belakang kanan) pada program itu.

Pix by Fizan Pijan

SRI AMAN, Rabu (26 Okt) – Kubu Alice yang bakal dibina semula oleh kerajaan tidak lama lagi dengan kos bernilai RM5 juta itu perlu dipelihara oleh semua rakyat dalam kawasan Sri Aman pada akan datang.

Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Datuk Talib Zulpilip berkata ini kerana Kubu Alice menyimpan nilai khazanah sejarah yang cukup tinggi dan boleh menarik kedatangan lebih ramai pelancong di masa akan datang.

“Ia (Kubu Alice) adalah merupakan salah satu produk pelancongan bersejarah yang perlu kita semua pelihara dan jaga keselamatannya selepas ini demi menonjolkan lagi imej Bandar Sri Aman di mata dunia.

“Bukan saja itu Taman Panorama Benak juga perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk penduduk tempatan di sini dengan menjaga tahap kebersihan kawasan itu dan tidak merosakkannya selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Perdana 2011 anjuran Kementerian Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Tourism Task Group Bahagian Sri Aman bertempat di Taman Panorama Benak, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Talib juga menyeru pusat pelancongan dalam negeri ini untuk memberi fokus terhadap aspek kebersihan kawasan masing-masing agar demi menarik kemasukkan lebih ramai lebih pelancong asing.

Pusat pelancongan yang bersih serta indah katanya akan menjadi buah mulut dikalangan pelancong asing dan secara tidak langsung mempromosikan pusat pelancongan itu kepada pelancong lain.

“Justeru saya mahu semua pihak sedar bahawa pelancong asing boleh menjadi duta bagi pusat pelancongan kita sekiranya kawasan itu dijaga dengan bersih dan selamat untuk dikunjungi oleh semua orang,” katanya.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan, Datu Ik Pahon Joyik dan Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, para ketua jabatan dan ketua kaum hadir sama bagi menjayakan program itu.

Tamat.

Buah Paoh popular dikalangan penduduk Iban

Caption : REZEKI...Brandon sedang memetik buah pauh di kampungnya ketika tibanya musim buah berkenaan bulan ini.

PANTU, Rabu (26 Okt) – Sebut sahaja nama buah pauh, sudah tentu kebanyakkan orang akan menelan liur memandangkan buah terbabit amat terkenal dikalangan penduduk Sarawak untuk tujuan ulam-ulaman selama ini.

Walaupun ia dikenali sebagai buah mangga muda atau buah mempelam di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, penduduk di Sarawak lazimnya mengelarkan buah terbabit sebagai buah pauh.

Ia bersaiz kecil iaitu sepanjang 10 hingga 15 sentimeter ketika ia mula dipetik oleh penduduk untuk tujuan ulaman ketika sesi waktu lapang atau pun sebagai lauk tambahan ketika sesi makan bersama keluarga.

“Harga buah pauh boleh mencecah RM5 sekilo di pasaran jika tibanya musim buah berkenaan selama ini,” kata seorang penduduk iaitu Brandon Uno dari kawasan Pantu, Sri Aman hari ini.

Katanya buah pauh sememangnya tidak asing dikalangan penduduk kaum Iban di sini sehingga ada di antara mereka yang menanam pokok berkenaan di belakang rumah mahupun di kebun.

Penduduk Iban katanya lebih gemar memakan buah berkenaan ketika ia masih muda memandangkan rasanya cukup masam berbanding ketika buah terbabit sudah masak selepas itu.

“Anda tidak boleh memakan buah berkenaan begitu saja. Buah pauh ini perlu direndam di dalam air terlebih dahulu sebelum ia dibelah dan diulam bersama sambal yang dibuat oleh anda sendiri.

“Jangan hiris kulit buah pauh berkenaan untuk tujuan ulaman memandangkan kami berpendapat bahawa adalah lebih baik jika buah terbabit dimakan bersama kulitnya,” jelas beliau.

Justeru beliau bersama rakannya Ricky bercadang untuk mengumpul buah pauh yang terdapat di kampung mereka untuk dijual di kawasan rumah panjang di Pantu atau pun di pasar yang berdekatan selepas ini.

Tamat.

Jalan tar di Selantik sudah siap tapi penduduk masih mahu ia terus diturap



Caption: MASIH BARU...Beberapa orang penduduk Selantik Ili sedang meninjau laluan tar baru yang telah diturap di kampung mereka kelmarin.

PANTU, Selasa (25 Okt) – Projek pembinaan jalan tar di Kampung Selantik Ili, Pantu akhirnya sudah siap namun penduduk di situ masih mahukan kontraktor meneruskan kerja mereka berhubung usaha terbabit.

Beberapa orang penduduk di situ ketika ditemui Utusan Sarawak mendakwa bahawa lapisan tar yang diturap dalam kawasan rumah panjang mereka tampak nipis dan masih perlu diturap semula selepas ini.

“Kontraktor terbabit sudah meninjau sendiri laluan jalan tar di sini setelah menerima aduan kami dan seterusnya bersetuju untuk meneruskan semula kerja berkenaan dalam masa terdekat kelak,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini.

Bagaimanapun penduduk di situ melahirkan rasa syukur mereka terhadap keprihatinan kerajaan dalam menaiktaraf hidup penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu menerusi projek jalan berturap terbabit.

Malah mereka juga berasa lega apabila kerajaan menerusi kontraktor terlantik sedang melakukan kerja pembinaan longkang bersimen di beberapa lokasi dalam kawasan rumah panjang itu demi mengelakkan berlakunya banjir di masa  akan datang.

“Kebetulan sekarang ialah musim hujan. Justeru tindakan mereka untuk membina sistem saliran perparitan yang baru dalam kawasan kampung ini nampaknya begitu bersesuaian demi mengurangkan risiko kejadian banjir selepas ini,” katanya.

Terdahulu penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu berasa gembira apabila pihak kerajaan melaksanakan projek naiktaraf terhadap beberapa buah laluan jalan kampung di situ semenjak 12 Oktober lepas.

Ketua kampungnya iaitu Hearold Ernest ketika ditemui berkata beliau telah memohon kepada pihak kerajaan bagi tujuan menaiktaraf jalan kampung di Selantik Ili, Pantu semenjak tahun 2009 lepas.

“Hasrat penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu akhirnya telah termakbul apabila pihak kontraktor terlantik telah datang ke sini untuk membuat kerja penyukatan jalan kampung sebelum projek itu bermula minggu lepas,” katanya.

Walaupun projek berkenaan dianggap kecil namun ia menurut beliau telah memberi makna cukup besar terhadap semua penduduk Selantik Ili yang tidak sabar mahu menikmati projek berkenaan.

Projek menurap jalan kampung berkenaan katanya bakal mengubah taraf hidup penduduk Selantik Ili, Pantu yang mengimpikan kemudahan perhubungan lebih berkualiti selepas ini.

Tamat.

Musim hujan jejaskan pendapatan penduduk luar bandar

Caption:

1. EMBU...Jejas pendapatan.. sekarang jual karipap

2. TAGOK...Kerja kontrak cari kantau


SRI AMAN, Selasa (25 Okt) – Sarawak merupakan salah satu negeri di Pantai Timur Malaysia yang menerima taburan hujan di peringkat maksimum bagi bulan November, Disember dan Januari.

Dengan kata lain, jumlah hujan akan turun dengan lebih banyak di seluruh negeri ini berbanding dengan bulan-bulan lain semenjak awal November lalu sehingga bulan Januari tahun hadapan.

Namun begitu faktor berkenaan secara tidak langsung juga boleh menjejaskan kehidupan penduduk luar bandar yang bergantung hidup kepada hasil penanaman getah dengan hujan lebat mula turun semenjak awal bulan Oktober lepas.

“Hujan selalu turun pada waktu lebat mahupun awal pagi di Simunjan. Semenjak ia bermula pada pertengahan bulan Oktober tadi, saya hanya berkesempatan untuk menoreh getah sebanyak dua kali sahaja sehingga sekarang,” kata Embu Umpau, 50 tahun.

Penduduk Kampung Kesindu, Simunjan itu memberitahu hujan telah menyebabkan pokok getah menjadi basah dan menjadi amat mustahil bagi penorehnya untuk memperoleh susu getah terbabit pada waktu itu.

Sementara itu Tagok Sebon, 25, dari Selantik Ili, Pantu berkata beliau terpaksa bekerja di Kuching pada waktu sekarang memandangkan cuaca buruk menyebabkan beliau sukar meraih rezeki dari menoreh getah.

“Harga getah sememangnya amat berharga pada masa sekarang. Saya yakin ramai penduduk luar bandar hidup selesa sebelum bermula bulan Oktober ini tadi disebabkan oleh cuaca baik.

“Namun hujan kerap turun awal pagi pada masa sekarang. Justeru belia seperti saya terpaksa mencari kerja di Kuching buat sementara waktu hingga musim hujan terbabit tamat selepas ini,” katanya.

Tamat.

Sukaneka Tadika SJK CHung HUa Pantu berlangsung meriah

GEMBIRA...Seorang kanak-kanak perempuan Tadika Tahun Satu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu, Sri Aman iaitu Shaelomie Delina, 5 tahun sedang menunjukkan hadiah kepada Utusan Sarawak setelah dinobatkan sebagai johan Kategori Pertandingan Meniup Belon Hingga Pecah menerusi acara Sukaneka Sekolah 2011 yang berlangsung di situ baru-baru ini. Shaelomie iaitu salah seorang dari 16 orang kanak-kanak Tadika Tahun Satu SJK Chung Hua Pantu yang bakal melangkah ke Tadika Tahun Dua pada tahun depan telah mendapat hadiah berupa set alatan menulis dan buku latihan berhubung kemenangan terbabit. - 25 Oktober

24 October, 2011

Mekanisme baru untuk bayar bantuan RM100 bagi murid di Sarawak bakal diwujud - Fatimah

Caption: UNTUK ALBUM...Fatimah (tengah) bergambar kenangan bersama (dari kiri) Bohari, Ismawie, Johnathan, Junting, Jamit dan Husaini ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (24 Okt) – Kerajaan akan mewujudkan mekanisme khas bagi tujuan pengagihan bantuan wang bernilai RM100 seorang menjelang bulan Disember ini kepada semua murid di negeri Sarawak termasuk juga Sabah.

Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita Dan Kebajikan, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Atila Tiang Laju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Beliau berkata kewujudan mekanisme khas terbabit telah dipersetujui oleh kerajaan setelah perkara itu diajukan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi mesyuarat exco pendidikan baru-baru ini.

“Kita sedia maklum bahawa wang bantuan bernilai RM100 kepada semua murid akan disalurkan oleh bank menerusi institusi perbankan yang terdapat di kawasan penempatan penduduk.

“Masalahnya ialah ada bank yang terletak jauh dari kawasan penduduk di luar bandar. Kita tidak mahu kos pengangkutan mereka melebihi nilai wang bantuan berkenaan...ia tidak berbaloi untuk ibubapa murid-murid itu,” katanya.

Fatimah yakin bahawa mekanisme khas itu akan membolehkan kerajaan menyalurkan wang bantuan tersebut kepada murid-murid dari kawasan luar bandar tanpa menjejaskan kos pengangkutan mereka sendiri.

Justeru beliau berharap agar ibubapa tidak mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah mulai sekarang berdasarkan kepada pelbagai jenis bantuan dan kemudahan pendidikan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka selepas ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Pengetua Cemerlang SMK Simanggang, Joseph Junting Resa, Yang Dipertua PIBG SMK Simanggang, Husaini Bujang dan Temenggong Haji Abang Bohari Haji Zen.

Seramai 255 orang graduan pelajar Tingkatan Enam, penerima sijil terbaik akademik, penerima sijil pencapaian ko-kurikulum dari SMK Simanggang menerima hadiah dan sijil dalam majlis berkenaan.

Tamat.