Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 January, 2011

Simunjan dilanda banjir




Caption:

1. MASALAH...Kawasan Jalan Masjid Baru, Simunjan ketika dilanda banjir antara satu hingga dua kaki kelmarin.

2. TERJEJAS...Sebuah rumah di Taman Hijrah, Simunjan ditenggelami air sedalam dua kaki akibat banjir kelmarin.

SIMUNJAN, Sabtu (15 Jan) – Beberapa buah kawasan dalam Pekan Simunjan dilanda banjir sedalam satu hingga tiga kaki pada hari kelmarin akibat hujan lebat yang turun secara berterusan sejak dua hari lepas.

Tinjauan mendapati antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir ini ialah Taman Hijrah termasuk beberapa batang jalan utama seperti Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Masjid Baru.

“Banjir mencecah hampir dua kaki di kedua-dua batang jalan terbabit. Masalah ini menyebabkan beberapa buah kenderaan penduduk terkandas ketika mahu menghantar anak-anak ke sekolah pada awal pagi kelmarin,” menurut seorang penduduk iaitu Abang Naim Abang Pauzi ketika ditemui kelmarin.

Seorang penduduk, Kamal bin Jol, 63, dari Taman Hijrah, Simunjan mendakwa bahawa kejadian banjir ini berlaku akibat sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kedai runcit milik saya juga dimasuki air sedalam dua kaki. Lebih memburukkan keadaan lagi ialah apabila parit konkrit yang baru siap dibina telah menutup saluran air yang sepatutnya mengalir ke Sungai Simunjan Lama,” katanya.

Saluran air ini dakwa beliau merupakan satu-satunya saliran yang mengalirkan air dari kawasan Taman Hijrah Simunjan hingga ke Sungai Simunjan Lama sebelum tersumbat oleh parit konkrit terbabit.

Sementara itu, Kamis bin Jeni, 56 dan Sidek bin Saili, 68, pula memberitahu bahawa keadaan seperti ini memang kerap berlaku acapkali turun hujan lebat di kawasan Pekan Simunjan.

“Rumah kami seringkali dimasuki air sehingga pernah mencecah paras pinggang. Justeru kami berharap agar pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera bagi seperti memecah parit konkrit yang menutup saluran air ke Sungai Simunjan Lama selepas ini.

“Tindakan ini penting agar masalah ini tidak berlarutan kelak. Lagipun cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang mungkin boleh menimbulkan keadaan lebih buruk jika berlakunya fenomena air pasang besar,” kata mereka.

Tamat.

No comments:

Post a Comment