Caption: FOKUS...Ibubapa murid SK Abang Kadir Betong sedang tekun mendengar taklimat yang disampaikan oleh Abang Udai kelmarin.
Saleman Senin
BETONG, Khamis (6 Jan) - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merangka satu kurikulum baru bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang akan diaplikasikan bermula pada tahun 2011.
Ia adalah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), iaitu kurikulum baru bagi mentransformasikan pendidikan yang telah dirancang oleh KPM dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan negara.
Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Betong, Abang Udai bin Abang Achang berkata demikian ketika memberi taklimat Khas KSSR Tahun Satu kepada ibu bapa pelajar yang mendaftar anak masing-masing di sekolah tersebut kelmarin.
“KSSR difokuskan bermula daripada Tahun Satu bagi tahun ini. Program transisi iaitu salah satu program peralihan minda pelajar yang diselitkan dalam program pengenalan pelajar kepada persekitaran sekolah juga akan diadakan selama dua minggu selepas ini,” katanya.
Selain itu katanya Program Linus juga turut dilaksana bagi menentukan kedudukan para murid yang menguasai 3M (Menulis, Membaca dan Mengira) dan para murid menerusi program ini akan diberi ujian sebanyak tiga kali sepanjang tahun iaitu pada bulan Februari, Mei dan September.
Jelas beliau murid yang menguasai 3M akan dimasukkan ke dalam aliran Perdana (kelas biasa) manakala murid yang tidak menguasai 3M sepenuhnya akan dimasukkan ke dalam Linus.
“Linus Tegar pula adalah untuk pelajar yang buta huruf. Program ini juga mewajibkan penguasaan 3M sebanyak 90 peratus untuk Tahun 1, 95 peratus penguasaan apabila mereka melangkah ke Tahun 2 seterusnya menguasai 100 peratus di Tahun 3,” katanya.
Justeru, Udai yang juga merupakan salah seorang guru besar cemerlang berharap agar sasaran beliau tercapai bagi melonjakkan prestasi sekolah berkenaan ke tahap yang lebih membanggakan di masa akan datang.
Terdahulu taklimat yang telah dihadiri seramai 52 orang ibu bapa murid ini merupakan salah satu perancangan yang disenaraikan dalam takwim SK Abang Abdul Kadir Betong di Pusat Kegiatan Guru Betong.
Tamat.
No comments:
Post a Comment