Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 January, 2011

BN - SUPP tetap pertahankan kerusi Engkilili


Mugshot: NYAMBONG MAWENG


ENGKILILI, Sabtu (15 Jan) – Dr Johnnical Rayong Ngipa memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili pada pilihan raya negeri 2006 lepas kerana beliau adalah anak jati kelahiran kawasan ini.

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Bahagian Engkilili, Kanselor Nyambong anak Maweng ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) iaitu Edwin Dundang yang mahu merampas semula kerusi DUN Engkilili pada pilihan negeri ini nanti.

Katanya rakyat memandang Rayong sebagai anak jati kelahiran Engkilili pada pilihan raya negeri ketika itu walaupun berjaya menewaskan calon BN – SUPP iaitu Johnathan Krai Pilo dengan menggunakan lambang parti SNAP.

“Lagipun Krai bukan anak jati Engkilili. Ini kelebihan buat Rayong untuk menewaskan beliau ditambahi pula dengan sifat peribadi beliau selaku individu yang cukup mesra rakyat selama ini,” katanya.

Walaupun pernah menentang Rayong pada pilihan raya negeri 2006 dahulu namun Nyambong kini sedar bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat semenjak memenangi kerusi ini pada pilihan raya negeri lepas.

Sementara itu SUPP dengan kerjasama komponen parti politik BN seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan berjuang untuk mempertahankan kerusi Engkilili milik BN ini daripada pihak pembangkang pada pilihan raya negeri kelak.

Kerjasama antara keempat-empat komponen parti BN ini kata Nyambong akan membolehkan SUPP terus mempertahankan kerusi milik mereka pada pilihan raya negeri 2011.

“Paling penting ialah penduduk kawasan DUN Engkilili tidak mudah terpedaya terhadap dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan BN mulai sekarang,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment