Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 January, 2011

SUPP dan ATM anjur Program Tentera Masuk Kampung di Rumah Sawing Paku, Undop

SRI AMAN, Jumaat (7 Jan) – Penduduk dari sekitar kawasan Batu Lintang, Sri Aman dipelawa untuk hadir memeriahkan sambutan Program Tentera Masuk Kampung bertempat di Rumah Kanselor Sawing anak Sumar, Paku, Ulu Undop bermula 7 hingga 9 Januari ini.

Seorang jurucakap memberitahu Program Tentera Masuk Kampung ini merupakan anjuran Markas Kem 3 Briged, Angkatan Tentera Malaysia, Kuching dengan kerjasama Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang.

“Program ini bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dari 7 hingga 9 Januari ini. Beberapa aktiviti menarik diadakan untuk mana-mana penduduk yang hadir bagi memeriahkan suasana sambutan program terbabit.

“Antaranya ialah sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma, pemeriksaan gigi secara percuma dan juga pemberian ubat kesihatan tanpa cas bayaran kepada penduduk yang hadir pada program ini,” katanya.

Selain itu program berkenaan menurut beliau bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara penduduk kampung, pihak tentera dan parti politik kerajaan yang terdapat di negara ini.

Penduduk pada program itu katanya juga berpeluang untuk melihat peranan dan fungsi yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia dalam melaksanakan aktiviti bercorak komuniti di kawasan luar bandar.

“Kami mahu penduduk luar bandar untuk mengetahui bahawa pihak ATM turut turun padang bagi menyumbang tenaga mereka dalam melaksanakan aktiviti kebajikan di negeri ini.

“Justeru kami berharap agar penduduk di kawasan Batu Lintang dan Ulu Undop tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri dalam program terbabit sebelum ia tamat pada 9 Januari kelak,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment