Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2011

Jambatan Sungai Keribau, Rimbas, Debak perlu diperbaiki




Caption: PERLU PEMBAIKAN SEGERA...Jambatan merentasi Sungai Keribau, Rimbas perlu diperbaiki segera oleh kerajaan demi kebaikan penduduk. (ada dua pix)


DEBAK, Rabu (5 Jan) – Penduduk kawasan Rimbas menggesa pihak berkuasa tempatan untuk membaiki semula kerosakan yang berlaku terhadap jambatan yang merentasi Sungai Keribau selepas ini.

Seorang ketua kaum, Tr. Jampang anak Munang berkata kerosakan jambatan yang merentasi Sungai Keribau, Rimbas ini telah bermula semenjak bulan Mei tahun lepas akibat hakisan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan.

“Ia merupakan kali kedua jambatan terbabit mengalami kerosakan. Kerosakan kali pertama berupa lubang pada jambatan ini berlaku selepas beberapa bulan ia dibina pada tahun 2008 lepas.

“Kerosakan yang disebabkan oleh faktor hakisan tanah runtuh disebabkan oleh hujan ini bagaimanapun telah diperbaiki segera oleh pihak berkuasa tempatan dalam tahun yang sama sebelum rosak kembali pada bulan Mei tahun lepas,” katanya.

Menyedari bahaya kerosakan berkenaan terhadap penduduk, beliau telah bertindak segera melaporkan perkara itu kepada Pegawai Tadbir yang menguasa Pejabat Daerah kecil Debak dalam bulan yang sama.

Kata Jampang, Pegawai Tadbir berkenaan telah turun padang bagi meninjau kerosakan pada jambatan tersebut dan terus membuat laporan kepada Pegawai Daerah dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong.

“Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong juga pernah datang untuk meninjau sendiri dan menganggarkan kos bagi tujuan kerja membaikpulih kerosakan pada jambatan tersebut.

“Persoalannya sekarang ialah sampai bilakah pihak berkuasa tempatan mahu melaksanakan segera kerja membaikpulih jambatan tersebut demi kebaikan penduduk di sini?” katanya.

Beliau turut menambah bahawa jambatan berkenaan banyak memberi jasa terhadap penduduk dan pengunjung luar semenjak dua tahun kebelakangan ini sebelum ‘khidmat’nya terhenti akibat kerosakan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment