Caption: UNTUK ALBUM...Rohani (tengah) sambil diapit oleh Felicia (kiri) dan Rohana (kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama tetamu undangan khas dan penerima MRP yang lain pada majlis itu.
SRI AMAN, Ahad (9 Jan) – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) harus mendapat bantuan sewajarnya daripada penduduk dengan membantu mendaftarkan diri mereka di mana-mana agensi kerajaan atau pusat yang berkaitan dengannya selepas ini.
Timbalan Menteri Perdagangan, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesihatan / Derma Darah dan Pendaftaran OKU di Mini Stadium Sri Aman hari ini.
Ini kerana menurut beliau kerajaan telah menyediakan banyak jenis bantuan terhadap mana-mana golongan OKU yang berdaftar demi membantu menaiktaraf hidup mereka dari masa ke semasa.
“Terdapat 32 jenis kemudahan dan keistimewaan bagi golongan OKU yang berdaftar antaranya elaun pekerja cacat, bantuan alat tiruan / sokongan, program pusat pemulihan dalam komuniti, pengecualian bayaran rawatan perubatan, pengecualian bayaran dokumen dan sebagainya.
“Justeru saya meminta semua pihak untuk turun padang bagi membantu mendaftar mana-mana golongan OKU terhadap agensi yang berwajib agar kerajaan dapat membantu mereka selepas ini,” katanya.
Selain itu Rohani juga berharap agar penduduk tidak menyisihkan golongan OKU mulai sekarang memandangkan mereka juga mempunyai keupayaan dalam menyumbang terhadap kemajuan ekonomi negara di masa akan datang.
“Golongan OKU juga mempunyai potensi dalam pelbagai aktiviti ekonomi jika dilatih dengan secukupnya. Justeru saya berharap agar semua penduduk turun padang untuk membantu kerajaan melatih mereka dalam bidang ekonomi tertentu di masa akan datang,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sri Aman, Rohana Isnawi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Murnihayati Ali, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hayati Jaafar dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Douglas Amut.
Terdahulu sejumlah 292 golongan OKU dari kategori Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pelbagai dan Kurang Upaya Mental telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman bagi tahun 2009 dan 2010.
Rohani turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terhadap 33 buah pihak penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM232,000 pada maljlis berkenaan.
Tamat.
No comments:
Post a Comment