Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 January, 2020

Hospital Sri Aman baharu dijangka beroperasi 2021




Caption:

PIX 1: LAWAT...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan rombongan bergambar kenangan ketika melawat ke kawasan berhampiran tapak projek Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu di Lubok Antu semalam.

PIX 2: MENARIK...Gambar pelan ini menunjukkan rupa Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang sedang dibina di Lubok Antu dengan kos sebanyak RM28.9 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.

PIX 3: UNTUK KENANGAN...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan rombongan menunjukkan isyarat jari bagus ketika melawat Klinik Kesihatan Lubok Antu yang lama di Lubok Antu semalam.

UTUSAN SARAWAK 

LUBOK ANTU: Hospital Sri Aman yang baharu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Menurut beliau projek hospital baharu yang dikategorikan sebagai 'sakit' itu sudah mencapai status 82 peratus siap pada masa sekarang dengan perlaksanaannya kini dilihat mengalami kelewatan dari jadual sebenar.

"Struktur bangunannya kini sudah siap. Kini kita sedang menyiapkan kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan termasuk kerja pemasangan bahagian dalaman yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

"Apabila selesai, pihak kementerian akan mengambil alih projek hospital baharu itu dengan tempoh selama enam bulan diperlu bagi melaksana ujian dan pertauliahan bagi memastikan segalanya berjalan lancar,"kata beliau.

Lee berkata demikian ketika sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu bertempat di Klinik Kesihatan Lubok Antu lama di sini pada Selasa lepas.

Beliau turut memberitahu bahawa kontraktor projek hospital baharu tersebut sudah diberi dua kali lanjutan masa iaitu 460 hari dengan lanjutan masa ketiga mungkin akan dipertimbang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak.

Sementara itu Lee pada sidang media itu juga turut mengumum beberapa projek pembinaan Klinik Kesihatan yang sedang melalui proses tender dan bakal dilaksana dalam negeri ini.
Katanya, Klinik Kesihatan (Jenis 2) akan dibina di Miri, Tabuan Jaya (Kuching), Serian, Siburan, Semalau (Sarikei), Nanga Kemaleh (Julau), Long Napir (Limbang) dan Simpang Bukut (Mukah).

"Manakala itu, Klinik Kesihatan (Jenis 3 dan 5) yang sudah dilulus atau dalam proses tender sekarang ini akan dibina di kawasan Lawas, Long Busang (Belaga), Semok (Mukah), simpang Simunjan dan Long San (Baram)," katanya.

Terdahulu Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu sedang dibina di atas tanah berkeluasan 9.8 ekar dalam Lot 900, Block 12, Bukit Besai Land District di sini dengan kos sebanyak RM28.9 juta.

Projek pembinaan klinik kesihatan baharu yang dilaksana oleh kontraktornya iaitu Akobest Sendirian Berhad berkenaan telah bermula 29 Oktober tahun lepas dan dijangka siap pada 28 Oktober tahun hadapan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Syrrunnaja Adnan, Pengarah Bahagian Perancangan, Dr Nordin Salleh, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bari, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop dan para kakitangan Jabatan Kesihatan di sini.
Tamat

08 January, 2020

PGA Batalion 10 tumpas jenayah rokok seludup di Bandar Simanggang

SIMANGGANG: Pihak Kompeni C Sri Aman, Batalion 10, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini pada pagi Selasa lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion (BN) 10 PGA, Superitenden Sanudin Md Isa berkata kesemua rokok berkenaan dirampas menerusi serbuan pada jam 9 pagi di sebuah stor tidak bernombor dalam kawasan Jalan Kampung STC di sini.

"Pihak Cawangan Risik Kompeni C Sri Aman BN 10 PGA yang diketuai oleh Inspektor Mohd Shaiful Nizar Mohd Yusoff telah berjaya merampas sejumlah 2,329 katon rokok bernilai RM538,910 termasuk cukai menerusi serbuan berkenaan.

"Bagaimanapun pihak kita tidak membuat sebarang tangkapan memandangkan tiada pemilik yang datang untuk menuntut barangan tersebut ketika serbuan berkenaan dijalankan di stor itu," kata beliau.

Sanudin berkata demikian ketika berlangsungnya sidang media kejayaan Op Libas di Sri Aman (kejayaan kedua kontraban bagi tahun 2020) bertempat di bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman di sini semalam.

Beliau pada sidang media itu memberitahu modus operasi penyeludup adalah menjadikan stor dan rumah kosong yang terbiar sebagai tempat penyimpanan barangan tanpa cukai seperti rokok, bir dan mercun sebelum ia diedar ke sekitar Bandar Simanggang.

"Kesemua rampasan tersebut telah ditahan di bawah kesalahan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang mana boleh membawa kepada hukuman denda sebanyak RM10,000@minimum sepuluh kali nilai barang yang mana lagi tinggi@penjara minimum enam bulan dan maksium tidak lebih tiga tahun @ kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

"Kesemua barang rampasan hasil serbuan berkenaan telah pun kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sri Aman untuk tujuan tindakan dan siasatan lanjut," kata Sanudin.

Terdahulu, Batalion 10 PGA Sibu telah meraih kejayaan Op Libas yang pertama pada tahun ini setelah berjaya merampas sejumlah 4,220 katon rokok dengan anggaran nilai sebanyak RM1,009,000 termasuk cukai pada 2 Januari lepas di , Sarikei.

Operasi serbuan berkenaan telah dilaksana oleh pihak cawangan risik Batalion 10 PGA Sibu yang diketuai oleh Inspektor Salman Zulfitri Sheekandar terhadap sebuah rumah kosong dalam kawasan Jalan Getah di situ.

Kejayaan Op Libas di Sarikei dan Simanggang ini telah menjadikan jumlah nilai keseluruhan barang rampasan mencecah RM1,547,910 yang mencakupi sejumlah 6,549 katon rokok.

8 JANUARI 2020. UTUSAN SARAWAK

JKM Sri Aman hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop


TAKE NOTE PLEASE. INI NEWS LAMA. TER UPLOAD SEKARANG. INI BUKAN NEWS 2020

Caption: IKHLAS...Kanselor Vincent (kiri) menyerahkan bantuan kepada Tr Jegai (kanan) sambil disaksikan oleh Hangol (tiga kanan) dan penduduk yang lain ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (7 Jan) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman telah turun padang untuk menghulurkan bantuan bencana kepada keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop, Batu Lintang di sini kelmarin.

Bantuan terbabit daripada JKM Bahagian Sri Aman adalah hasil usaha Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis dengan kerjasama Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang.

Menerusi usaha ini, kesemua 17 buah keluarga mangsa kebakaran berkenaan mendapat wang bernilai RM2,500 sekeluarga daripada JKM Bahagian Sri Aman bagi tujuan pembelian barangan keperluan isi rumah.

JKM Bahagian Sri Aman juga turut menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM120 seorang kepada lapan orang pelajar (mangsa kebakaran) bagi tujuan pembelian peralatan dan pakaian seragam sekolah.

Demi mengurangkan lagi bebanan mereka, JKM Bahagian Sri Aman juga turut menyampaikan bantuan bernilai RM140 seorang dan RM70 seorang kepada kesemua 44 orang mangsa kebakaran rumah panjang tersebut.

Dengan kata lain JKM Bahagian Sri Aman telah pun menghulurkan bantuan bencana yang mencakupi nilai keseluruhan berjumlah RM49,080 bagi mengurangkan bebanan keluarga mangsa kebakaran berkenaan.

Kanselor Vincent Sawing Sumar telah mewakili pihak Datuk Francis Harden dan SUPP Simanggang untuk menyerahkan bantuan kewangan JKM Bahagian Sri Aman ini kepada Tuai Rumah Jegai Jawa.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan bantuan itu ialah Penolong Pegawai Kebajikan Bahagian Sri Aman, Hangol Katot, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Simanggang, Ling Siew Hung, kakitangan JKM dan ketua kaum di sini.

Terdahulu sejumlah 17 buah keluarga dari Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop, Batu Lintang ditimpa malang apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran pada 27 November tahun lepas.

Tamat.

Hargai sumbangan kerajaan - Snowdan


TAKE NOTE PLEASE. INI NEWS LAMA. TER UPLOAD SEKARANG. INI BUKAN NEWS 2020

Caption: PENGHARGAAN...Snowdan (kanan) menerima cenderahati daripada ketua biro wanita sambil disaksikan oleh Masir (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SIMUNJAN, Khamis (19 Jan) – Penduduk luar bandar perlu menyokong dan menghargai jasa kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata ia terbukti menerusi sejumlah besar peruntukan dan projek bagi membina kemudahan jalan raya serta kemudahan elektrik 24 jam di kawasan luar bandar di bawah RMK10.

“Penduduk luar bandar juga perlu bersikap terbuka untuk menerima projek pembangunan di kawasan mereka seperti projek penanaman sawit dan sebagainya demi menaiktaraf sosioekonomi hidup masing-masing.

“Lagipun ia adalah usaha pembangunan yang pihak pembangkang tidak dapat lakukan. Justeru sokongan penduduk luar bandar terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah amat penting demi kemajuan hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Kampung Sungai Indai Atas, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu Snowdan juga menasihatkan penduduk agar memberi kerjasama kepada pihak Jabatan Tanah Dan Survei yang datang untuk menyukat perimeter tanah milik masing-masing selepas ini.

“Dengan cara ini, tanah Hak Adat Bumiputera milik penduduk akan bebas dari segala masalah sebelum pihak Jabatan Tanah Dan Survei datang bagi menyukat tanah milik mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Snowdan menerusi majlis itu telah menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM4,000 kepada biro wanita kampung berkenaan dan Sijil Perlantikan kepada Ketua Kaum yang baru dilantik iaitu Abdul Halim Abdullah @ Mengkau.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Temenggung Anthony Ngipa, Penghulu Ali Danjie, Penghulu Asai Bijak dan Penghulu Entika anak Seman.

Tamat.

Pencuri motor kena kejar tak tukar plet

TAKE NOTE PLEASE. INI NEWS LAMA. TER UPLOAD SEKARANG. INI BUKAN NEWS 2020

SRI AMAN, Sabtu (21 Jan) – Satu episod kejar-mengejar menggunakan motorsikal antara saspek pencuri dan orang awam telah dilaporkan berlaku dalam kawasan Bandar Sri Aman sekitar jam 10 malam kelmarin.

Sumber memberitahu kisah bermula apabila motorsikal dipercayai milik seorang kakitangan kerajaan hilang dicuri pada waktu malam di luar kawasan rumahnya sendiri kira-kira tiga hari lepas.

“Si pemilik motorsikal berkenaan terus membuat laporan polis sambil menghubungi rakan-rakan dan sanak-saudaranya untuk memantau sekitar kawasan Sri Aman bagi mencari motorsikal terbabit,” kata sumber.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila seorang rakan mangsa terserempak dengan sebuah motorsikal dipercayai milik mangsa yang sedang ditunggang oleh seorang lelaki dalam kawasan bandar ini malam kelmarin.

Kata sumber, rakan mangsa menjadi semakin syak apabila nombor plat pendaftaran dan jenis motorsikal yang digunakan oleh lelaki itu kelihatan sama seperti motorsikal milik mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Dari situ bermulalah adegan kejar-mengejar dengan motorsikal dalam bandar ini antara rakan mangsa dan lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal milik mangsa berkenaan.

“Adegan kejar-mengejar ini telah berlarutan sehingga ke kawasan Pasir Panas sehingga lelaki tersebut bertindak merebahkan motorsikal terbabit dan seterusnya melarikan diri ke kawasan timbunan pasir di situ,” kata sumber.

Rakan-rakan mangsa kemudiannya bertindak mencari lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal berkenaan namun gagal memandangkan kejadian itu berlaku pada waktu malam.

“Mungkin saspek melarikan diri ke kawasan sawah atau paya pada malam itu. Bagaimanapun keberanian lelaki terbabit menunggang motorsikal curi itu menjadi tanda tanya dikalangan rakan mangsa.

“Pencuri biasanya menanggalkan atau menukar plat pendaftaran motorsikal yang baru dicuri. Namun individu ini nyata masih berani menunggang motorsikal curi ini dikawasan pasar tanpa mengubahsuai motorsikal berkenaan,” kata sumber.

Tamat.








Masalah air di Pusa, Betong akan diselesai - Rohani

TAKE NOTE PLEASE. INI NEWS LAMA. TER UPLOAD SEKARANG. INI BUKAN NEWS 2020

PUSA, Isnin (6 Feb) – Masalah tekanan air rendah dan kekurangan bekalan air bersih telah dikenal pasti sebagai masalah utama penduduk dari beberapa buah kampung di kawasan Pusa, Betong pada masa sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata keadaan ini akan menjadi lebih rumit ketika berlangsungnya musim kemarau mahupun pada hari-hari perayaan.

“Jumlah penduduk di kawasan Pusa yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan air kian bertambah dengan bekalan air paip yang sedia ada sekarang tidak dapat menampung keperluan mereka.

“Atas sebab ini kerajaan telah melaksanakan projek pembinaan takungan air baru dan menaiktaraf sistem bekalan air di kawasan tersebut bagi mengurangkan bebanan mereka selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar telah menyuarakan harapan ini ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja ke Kampung Seberang, dalam daerah kecil Pusa, Betong kelmarin.

Rohani turut memberitahu bahawa projek benilai RM39 juta itu telah pun bermula tahun lepas dengan kerja pemasangan paip utama dari Saratok ke Pusa masih giat dijalankan pada masa sekarang.

”Walaubagaimanapun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih lagi mencari punca air untuk sistem takungan baru yang tidak tercemar dengan bekalan air takungan itu mencukupi untuk diproses,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa selain dua komponen utama terbabit, projek berkenaan juga turut melibatkan usaha naiktaraf sistem paip di Kampung Beladin, Kampung Kalok, Kampung Seberang Pusa, Kampung Tambak, Sepinang dan Semarang.

Justeru Rohani berharap agar projek berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar dan dijangka siap pada tahun 2013 bagi memberi keselesaan kepada 50,000 orang penduduk di Pusa selepas ini.

Tamat.