Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 January, 2011

Simunjan alami hakisan tanah



Caption:

1. MASALAH... Ikhwan (berbaju biru) dan Julaihi menunjukkan proses hakisan yang berlaku di atas benteng penahan banjir

2. PERLU PERHATIAN...Karim menunjukkan kesan retak yang berlaku terhadap jalan raya di kampung beliau berhubung proses hakisan berkenaan.


SIMUNJAN, Rabu (19 Jan) – Penduduk Kampung Keleka, Simunjan melahirkan rasa bimbang mereka terhadap masalah hakisan tanah yang disebabkan oleh pembinaan benteng penahan banjir di tepi sungai yang kurang sempurna sebelum ini.

Rata-rata penduduk mendakwa bahawa pihak pemaju bertindak menanam cerucuk penahan banjir berkenaan hanya sedalam beberapa kaki sahaja dan tidak menjangkau panjang yang sepatutnya.

Akibatnya dakwa mereka sesetengah lokasi di kawasan Kampung Keleka masih lagi dinaiki air bah akibat keupayaan ombak pasang surut yang mampu melepasi benteng penahan banjir terbabit selama ini.

Seorang penduduk, Awang Ikhwan Awang Sidon, 42, menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan tanah yang kurang mampat di kawasan tersebut sehingga menyebabkan berlakunya hakisan tanah ketika proses air pasang besar dan hujan lebat.

“Lebih dikhuatiri ialah rumah saya hanya terletak 10 meter daripada benteng tersebut. Jika keadaan ini berterusan maka akan ada kemungkinan proses hakisan terbabit akan menghampiri kawasan rumah saya pada masa akan datang,” katanya.

Malah Awang Julaihi bin Haji Awang Omar, 64, berpendapat bahawa benteng penahan banjir tersebut seharusnya dibina lebih lebar dan kukuh agar ia dapat berfungsi dengan berkesan selepas ini.

Sementara itu seorang penduduk dari Kampung Sageng iaitu Karim Mat, 64, memberitahu jalan tar yang baru diturap beberapa bulan yang lepas di tebing sungai berkenaan mula retak disebabkan oleh proses hakisan berkenaan.

“Disebabkan oleh masalah ini saya telah bertindak memagar kawasan tersebut demi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya yang membabitkan pengguna kereta dan motorsikal dalam kawasan Simunjan.

“Lagipun jalan ini tidak sepatutnya dibina berhampiran dengan tebing sungai terbabit memandangkan jalan selebar enam meter itu besar kemungkinan akan runtuh jika berlaku proses air pasang besar dan hujan lebat,” katanya.

Justeru penduduk dari Kampung Keleka dan Sageng, Simunjan berharap agar pihak kerajaan memandang serius keadaan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya mulai sekarang.

Tamat.

1 comment:

  1. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai....itulah hakikat yang kita kena sedar bahawa berumah di tebing sungai sudah tidak relevan lagi. Lot baru sudah ada tetapi masih tidak mahu berpindah, siapa yang susah,kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit semata untuk menyelamatkan beberapa buah rumah...berbaloikah???
    Banyak lagi tempat yang memerlukan bantuan yang sepatutnya..lu pikirlah sendiri kawan.

    ReplyDelete