Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 September, 2011

Semua rakyat berbilang kaum dan agama dibantu sama rata - Rayong


Mugshot : DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA


SRI AMAN, Isnin (5 Sept) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam membantu rumah ibadat yang terdapat dalam negara ini khasnya di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata kerajaan BN memperjuangkan kebajikan semua kaum dan berlainan agama semenjak ia mula mentadbir negara ini dari dahulu.

“Kerajaan menerusi wakil rakyat dan agensinya sentiasa turun padang membantu semua pusat ibadat dalam negara ini sama ada dengan menyumbangkan wang ataupun peralatan yang berkaitan dengan pembangunan pusat itu.

“Justeru jika kita mengamalkan sikap pilih kasih maka ia akan bercanggah dengan dasar kerajaan BN yang memperjuangkan hak dan kebajikan semua penduduk di dalam negara ini termasuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena aktiviti mengumpul derma bagi membina Gereja Saint Luke Sri Aman yang baru di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menyeru penduduk untuk sentiasa bersatu-padu dalam politik dan agama bagi menjayakan proses pembangunan di kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

“Tidak boleh ada perpecahan dalam penduduk berbilang kaum dan agama di Sri Aman. Ini kerana perpaduan adalah kunci utama untuk merancakkan lagi proses pembangunan di sesebuah tempat.

“Untuk itu saya berharap agar semua penduduk terus mengamalkan semangat 1Malaysia agar kerajaan dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih mudah selepas ini,” menurut beliau.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ketua Gereja Saint Luke, Archedeon Chimbie Bunsi, pengerusi pengelola majlis, DSP (B) Nelson Jinn, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Sejumlah RM100,000 wang derma telah berjaya dikumpul pada malam berkenaan hasil sumbangan wakil rakyat, individu perseorangan, ahli perniagaan, pegawai dan pesara kerajaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment