Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 September, 2011

Jangan biarkan Tikus kuasai rumah anda

Caption: PERLU DIBASMI...Gambar menunjukkan seekor Tikus Rumah setelah memasuki perangkap yang dipasang oleh Nasharuddin malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (23 Sept) – Tikus Rumah boleh dikelaskan sebagai haiwan perosak berdasarkan kepada keupayaan haiwan terbabit dalam menyebarkan penyakit berbahaya kepada manusia seperti  Leptospirosis @ Kencing Tikus.

Manusia boleh mengidap penyakit Leptospirosis apabila terambil makanan atau minuman dicemari oleh air kencing haiwan perosak terbabit yang dijangkiti oleh Bakteria Leptospira sebelum itu.

Justeru jika Tikus Rumah dikesan di kawasan kediaman anda maka tindakan segera untuk menghalau atau membasmi haiwan perosak berkenaan perlu diambil segera demi mengelakkan jangkitan penyakit berbahaya berkenaan.

“Haiwan perosak terbabit boleh dijumpai di kawasan yang kotor dan tersorok. Sarangnya bulat dan diperbuat daripada bahagian tumbuhan, kain atau benda-benda lain,” kata Nasharuddin yang sedang menghapuskan tikus dari kawasan tempat kerjanya sekarang.

Tikus Rumah yang tergolong dalam Keluarga Muridae terbabit katanya sering menyelongkar tong sampah dan adakalanya membawa lari sabun pencuci tangan di lokasi kerja beliau.

Malah haiwan perosak itu kata Nasharuddin juga sering kencing di atas perkakas penting pejabat pada waktu malam sehingga ia menimbulkan bau kurang menyenangkan terhadap kakitangan beliau.

“Cara paling mudah untuk menangkap tikus ini ialah memasang perangkap dengan umpan makanan bergoreng sebelum ia ditinggalkan di semua laluan penting haiwan perosak berkenaan.

“Jika tertangkap, ia terpulang kepada budi bicara kita sendiri sama ada mahu membunuhnya atau tidak. Sama ada haiwan itu direndam dalam air, dijemur bawah matahari atau lain-lain cara ia terpulang kepada kita sendiri,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa tindakan membunuh dan menangkap Tikus Rumah ini tidak harus dianggap kejam oleh pihak lain memandangkan penyakit yang dibawa oleh haiwan terbabit boleh membunuh nyawa manusia.

“Justeru jangan beri muka kepada golongan haiwan ini jika ia hadir di kawasan kita. Saya tidak fikir anda mementingkan sifat belas kasihan terhadap haiwan perosak itu berbanding dengan keselamatan nyawa keluarga anda sendiri,” katanya.

Terdahulu Penyakit Leptospirosis mula mendapat perhatian ramai pada akhir bulan Jun tahun 2011 lalu apabila enam orang meninggal dunia disyaki dijangkiti Bakteria Melioidosis dan leptospirosis selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Penyakit tersebut kemudiannya mula dikesan di Kedah apabila seorang disahkan maut manakala tiga lagi dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang setelah berkelah di kawasan rekreasi Lata Bayu, Baling.

Tikus Rumah atau nama saintifiknya Rattus rattus mempunyai ciri warna kelabu di bahagian atas badan, berbulu kasar dengan bulu bahagian bawah badan berwarna kelabu kekuningan dan ekor berwarna kelabu gelap.

Tamat.

No comments:

Post a Comment