Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 September, 2011

Jambatan baru menghubungkan Bukit Tungku ke Merio bakal dibina, Rayong


Caption: MASIH ELOK...Rayong (tengah) sambil diapit oleh Nyalau (kiri) dan Cassidy (kanan) ketika meninjau keadaan Jambatan Gantung Merio, Engkilili baru-baru ini.


ENGKILILI, Selasa (13 Sept) – Kerajaan bercadang mahu membina sebuah jambatan baru yang bakal menghubungkan kawasan Bukit Tungku ke 10 buah rumah panjang di kawasan Merio dan sebuah sekolah di Engkilili selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata cadangan terbabit telah pun dikemukakan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan penghasilan pelan induk.

“Anggaran kos bagi tujuan cadangan pembinaan Jambatan Merbong, Engkilili ini masih belum diketahui memandangkan kita masih lagi menunggu pihak JKR untuk menyiapkan rangka kertas kerja bagi tujuan itu.

“Namun begitu pelan cadangan pembinaan Jambatan Merbong sepanjang 100 meter ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 2,000 orang penduduk di kawasan Engkilili sekiranya ia dapat dilaksanakan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai melakukan tinjauan ke atas Jambatan Gantung Merio, Engkilili bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak baru-baru ini.

Sementara itu Jambatan Gantung Merio kata Rayong hanya mengalami kerosakan kecil dan sedang mengalami proses pembaikan, tidak seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang sebelum ini iaitu rosak serta tidak selamat digunakan oleh penduduk.

“Tali besi Jambatan Gantung Merio terbabit sudah pun dihantar ke Kuching untuk melalui proses ‘carbonise’ agar ia dapat bertahan selama 20 tahun akan datang bagi kegunaan penduduk Engkilili.

“Kerja pembaikan semula Jambatan Gantung Merio, Engkilili ini dijangka akan siap sepenuhnya pada 30 September kelak dengan peruntukan kos bernilai RM26,100 bagi tujuan itu,” menurut beliau.

Justeru beliau berharap agar penduduk sedar bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap melaksanakan tanggungjawab terhadap penduduk berbanding pihak pembangkang yang hanya tahu bercakap namun tidak bekerja untuk menyelesaikan masalah.

Turut mengiringi Rayong dan Nyalau untuk meninjau keadaan Jambatan Gantung Merio ini ialah Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Sri Aman iaitu Cassidy Morris dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment