Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 September, 2011

Kuaters kediaman berkayu di Jalan Resak bakal tinggal kenangan


Caption: TINGGAL KENANGAN...Gambar menunjukkan sebahagian daripada kuaters rumah berkayu yang diroboh sebelum ini bagi memberi laluan terhadap perlaksanaan Projek Bandar Baru Sri Aman.


SRI AMAN, Rabu (7 Sept) – Runtuhan sebahagian daripada kuaters rumah berkayu milik kakitangan kerajaan di kawasan Jalan Resak sememangnya tampak lazim bagi penduduk dalam Bandar Sri Aman.

Ini kerana kawasan runtuhan kuaters rumah berkayu milik kakitangan kerajaan terbabit adalah merupakan tapak sebahagian daripada projek Fasa II Bandar Baru Sri Aman yang akan dilaksanakan selepas ini.

Dengan terlaksananya Pelan Fasa II Bandar Baru Sri Aman terbabit maka segala nostalgia yang pernah berlaku lebih daripada 20 tahun di kuaters rumah berkayu di Jalan Resak ini akan lenyap pada masa akan datang.

“Kuaters rumah berkayu di laluan Jalan Resak berkenaan sebenarnya melambangkan sejarah pembangunan Bandar Sri Aman pada saat awalnya dahulu sebelum mula melangkah maju pada masa sekarang.

“Bagi saya, runtuhnya kuaters rumah berkayu milik kakitangan kerajaan di sepanjang Jalan Resak itu nanti sebenarnya menunjukkan lonjakan transformasi pembangunan yang sedang berlaku di Bandar Sri Aman sekarang,” kata bekas penghuni kuaters berkenaan.

Beliau yang enggan namanya disiarkan di sini menambah anak-anaknya membesar di kuaters rumah berkayu berkenaan sebelum ia mula diruntuhkan pada awal tahun ini bagi tujuan perlaksanaan pelan Fasa II Bandar Baru Sri Aman.

Katanya perlaksanaan pelan Fasa II Bandar Baru Sri Aman yang akan berlangsung di Jalan Resak amat penting demi menaikkan lagi imej permodenan bandar ini terhadap penduduk luar.

“Segala-galanya memerlukan pengorbanan walaupun saya berasa terharu melihat kuaters rumah berkayu di kawasan Jalan Resak ini dirobohkan bagi memberi laluan terhadap perlaksanaan projek pembangunan berkenaan.

“Hidup perlu terus maju. Justeru saya amat menyokongnya sepenuhnya perlaksanaan projek Fasa I dan II Bandar Baru Sri Aman selepas ini demi menaiktaraf hidup semua penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu tiga buah pasaraya telah memulakan operasi sepenuhnya di bangunan komersial dalam Pelan Fasa I Bandar Sri Aman antaranya ialah One Stop Store Centre, Fair Price dan Doraemon.

Hotel tiga bintang pertama dalam Bandar Sri Aman ini dijangka akan memulakan operasinya dalam tempoh terdekat kelak di bangunan komersial terbabit apabila kerja pembinaannya dilaporkan hampir siap pada masa sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment