Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 September, 2011

Dua orang balu anggota polis terima cek sumbangan

Caption: IKHLAS...Jusoh (kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada balu mendiang Uli iaitu Jerami (kanan) ketika berlangsungnya majlis kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (28 Sept) – Kebajikan hidup keluarga dua anggota polis yang telah meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan sebelum ini akhirnya terbela apabila menerima sumbangan dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kelmarin.

Dua orang anggota polis terbabit ialah mendiang Lans Kopral Uli anak Rangkum dari Balai Polis Pantu dan Allahyarham Lans Kopral Abang Kiprawi bin Abang Zainuddin dari Balai Polis Lingga.

Mendiang Lans Kopral Uli telah menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 18 Mac 1974 dan bertugas buat kali terakhir di Balai Polis Pantu bermula 20 Mac 1995 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 16 Januari 2011.

Manakala Allahyarham Lans Kopral Kiprawi pula menyertai PDRM pada 15 Mac 1981 dan bertugas buat kali terakhir di Balai Polis Lingga bermula 1 Januari 205 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 30 Ogos 2011.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad telah menyampaikan sumbangan cek bernilai RM13,500 kepada balu mendiang Uli iaitu Jerami Amba dan cek bernilai RM3,000 kepada balu Allahyarham Kiprawi iaitu Tantiana Abdullah.

Kedua-dua balu berkenaan menerima cek ini menerusi Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Saguhati Tabung Kebajikan Sukan Dan Rekreasi Kontinjen Sarawak yang berlangsung di Bilik Gerakan IPD Sri Aman.

Terdahulu Jusoh menerusi ucapan ringkasnya pada majlis itu menasihatkan keluarga balu berkenaan agar tidak segan untuk tampil ke unit pengurusan IPD Sri Aman sekiranya menghadapi sebarang masalah selepas ini.

“IPD Sri Aman akan sentiasa mengingati sumbangan mendiang Uli dan Allahyarham Kiprawi selepas ini. Justeru saya menasihatkan keluarga balu agar sentiasa bersabar menghadapi dugaan terbabit,” katanya.

Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Saguhati Tabung Kebajikan Sukan Dan Rekreasi Kontinjen Sarawak ini turut disaksikan oleh Ketua Bahagian Cawangan Khas, Chief Inspektor Razak Nyodim, para pegawai kanan dan anggota pangkat rendah yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment