Caption:
1. PERLU DIBAIKI...Atap bumbung atas bangunan CIMB Bank Sri Aman kelihatan terkeluar selepas kejadian ribut petir pada 31 Ogos lepas dan perlu diperbaiki segera selepas ini.
2. TERGENDALA...Bengkel syarikat International dan Kiong Inn terpaksa ditutup sementara selama tiga jam kerana hujan lebat hari ini semenjak kehilangan bumbung dan papan iklan semenjak kejadian ribut petir pada 3 Ogos lepas.
SRI AMAN, Sabtu (3 Sept) – Atap bumbung dan papan iklan milik beberapa buah premis perniagaan dalam Bandar Sri Aman mengalami kerosakan teruk dipercayai berpunca dari cuaca ribut petir yang melanda kawasan ini pada malam 31 Ogos lepas.
Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa kesan kerosakan yang berpunca dari kejadian ribut petir itu masih jelas boleh dilihat di premis-premis perniagaan terbabit hingga hari ini.
Antara premis perniagaan yang mengalami kerosakan atap bumbung dan papan iklan berpunca dari kejadian ribut petir terbabit adalah bangunan CIMB Bank, Bengkel Kiong Inn Motor dan Bengkel Syarikat International di Jalan Hospital, Sri Aman.
Seorang peniaga kedai runcit ketika ditemui mendakwa kejadian ribut petir telah melanda pusat Bandar Sri Aman bermula dari jam 11 malam hingga jam 3.30 pagi pada malam 31 Ogos berkenaan.
“Malam itu memang berlaku ribut petir. Apabila saya mahu membuka kedai runcit pada 1 September lepas saya amat terkejut apabila mendapati bahawa atap bumbung dan papan iklan milik premis perniagaan terbabit rosak teruk,” katanya.
Beliau yang enggan namanya disiarkan mendakwa bumbung di atas bangunan CIMB Bank perlu dibaiki secepat mungkin memandangkan ia boleh mendatangkan risiko kecederaan terhadap orang ramai yang lalu lalang di situ selepas ini.
Sementara itu para pekerja Bengkel syarikat Internationl dan Kiong Inn Motor dirundung malang apabila hujan lebat pada hari ini menyebabkan mereka terpaksa menutup kedai selama tiga jam.
“Bahagian perkarangan hadapan bengkel tidak dapat beroperasi selama tiga jam akibat hujan lebat disebabkan oleh kerosakan bumbung dan papan iklan akibat kejadian ribut petir pada malam 31 Ogos lepas.
“Bagaimanapun ia adalah cabaran yang perlu setiap insan hadapi ketika bekerja. Hujan atau tidak, ia tidak akan dapat menghalang saya dan rakan yang lain menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja bengkel,” kata Nasir.
Tamat.
No comments:
Post a Comment