Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 September, 2011

Laluan pembalakan jadi pendekatan baru untuk luaskan rangkaian jalan raya Sarawak / Sabah - Uggah


Caption: SELAMAT DATANG...Rayong (kiri) ketika mengiringi ketibaan Uggah di SK Nanga Entalau bersempena dengan majlis berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Jumaat (30 Sept) – Kerajaan telah bercadang untuk menaiktaraf jalan laluan pembalakan sebagai pendekatan baru untuk menyediakan liputan luas rangkaian jalan raya di negeri Sabah dan Sarawak selepas ini.

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata pendekatan baru terbabit telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mesyuarat Majlis Tindakan Kebangsaan baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri berhubung perkara berkenaan telah pun mengenalpasti kawasan laluan pembalakan dalam negeri ini dan seterusnya menghantar senarai laluan terbabit kepada Kerajaan Pusat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau, Ulu Skrang, Engkilili kelmarin.

Uggah juga memohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di dalam kawasan masing-masing untuk membuat laporan kepada Pejabat Residen jika terdapat laluan pembalakan yang belum disenaraikan di kawasan mereka selepas ini.

Usaha terbabit katanya amat penting agar laluan pembalakan di kawasan ADUN atau MP dalam negeri ini dapat disenaraikan supaya ia dihantar ke Pejabat Ketua Menteri untuk tindakan seterusnya.

“Keputusan terkini daripada Kerajaan Pusat bakal memberi keuntungan kepada penduduk terutama sekali dari kawasan pedalaman yang masih menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan utama seperti di Belaga dan Bario termasuk juga kawasan luar bandar di Betong, Miri dan Sri Aman,” katanya.

Terdahulu Uggah menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM20,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru SK Nanga Entalau.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, kakitangan jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment