Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 September, 2011

Cikgu Ambi ternak ikan untuk jimatkan belanja


Caption: JIMAT...Ambi (kanan) bergambar di sebelah kolam ikan bersama anak lelakinya ketika ditemui Utusan Sarawak kelmarin.


SIMUNJAN, Ahad (4 Sept) – Mewujudkan sumber makanan tambahan adalah tidak salah selagi ia tidak menyalahi undang-undang dan hanya bersifat untuk memberi kebaikan kepada individu mahupun kumpulan itu sendiri.

Apatah lagi kenaikan harga barang pada masa sekarang menyebabkan ‘kekuatan’ gaji atau pendapatan seseorang individu semakin lemah sehingga memaksa mereka untuk mencari rezeki tambahan selepas itu.

Namun seorang Guru Bahasa Iban dari Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus, Simunjan iaitu Ambi Setam, 49, bertindak mewujudkan dua buah kolam ikan di belakang rumahnya bagi menampung keperluan makanan seisi rumah.

“Selain dari menampung keperluan makanan seisi rumah, aktiviti membela ikan ini juga secara tidak langsung akan membolehkan saya mengamalkan langkah berjimat cermat untuk sepanjang masa,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Walaupun mempunyai pendapatan kukuh sebagai seorang guru berpengalaman, suami kepada Mary Tinsai dan ayah kepada empat orang anak itu tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada gaji bagi menampung belanja makan seisi rumah.

Setiap individu khasnya kakitangan kerajaan kata Ambi boleh mencari pelbagai langkah lain untuk berjimat cermat seperti menanam sayur di belakang rumah atau memperkenalkan bajet ketat untuk keluarga masing-masing.

“Lagipun saya memelihara pelbagai jenis ikan yang sangat popular dikalangan penduduk tempatan dalam negeri ini seperti Talapia Merah, Lampam Jawa, Bantak dan beberapa spesis ikan yang lain.

“Saya juga menjadikan aktiviti ini sebagai hobi. Jika mempunyai waktu lapang pada sebelah petang saya menguruskan kolam ikan terbabit agar ia sentiasa bebas dari ancaman binatang lain,” katanya.

Justeru Ambi berharap agar kakitangan kerajaan mengikuti jejak langkah beliau dengan melakukan pelbagai aktiviti pertanian di sekitar kediaman masing-masing demi menyahut seruan kerajaan untuk berjimat cermat selepas ini.

Tamat.

1 comment: