Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 November, 2009

Trademark'kan sri aman dengan Bumbu Bubur Pedas - Fatimah


Caption: TAHNIAH...Fatimah sedang menyampaikan hadiah saguhati kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kanan) Shamshuddin, Magdeline dan Badin ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Ahad (22 Nov) – Produk makanan Bumbu Bubur Pedas mampu dijadikan sebagai ‘signature product’ untuk Bandar Sri Aman demikian menurut Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan), Datin Hajah Fatimah Abdullah.

Ini kerana produk makanan Bumbu Bubur Pedas menurut beliau telah pun tersenarai di antara 200 produk Makanan Warisan di Malaysia dan mampu dijadikan sebagai ‘ikon’ untuk bandar ini.

“Dengan Tebaloi yang kini dianggap sebagai ‘signature product’ untuk kawasan Mukah, produk Bumbu Bubur Pedas juga boleh dijadikan sebagai ‘signature product’ untuk bandar ini jika usaha mempromosikan produk itu dilaksana dari masa ke semasa.

“Jika produk Bumbu Bubur Pedas ini berjaya diperluaskan di peringkat dunia maka tidak mustahil produk ini akan menjadi begitu sinonim dengan Bandar Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Fatimah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pesta Bumbu Bubur Pedas 2009 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga mahu setiap pengusaha produk Bumbu Bubur Pedas di bandar ini untuk mementingkan kualiti pengeluaran produk makanan itu sebelum ia mula diperkenalkan kepada orang ramai selepas ini.

“Pengeluaran Bumbu Bubur Pedas bermula dari peringkat pembangunannya. Setiap pengusaha harus mementingkan aspek pembungkusan yang baik, penggunaan alatan, penyataan nutrisi, proses pengilangan yang menepati piawan dan perkhidmatan mesra pelanggan demi mempromosi produk itu di sini,” katanya.

Fatimah juga turut menambah bahawa sehingga kini sejumlah 31 buah produk makanan tempatan dalam negeri ini sudah pun tersenarai dalam Sarawak Best.

“Salah satunya ialah produk Bumbu Bubur Pedas yang dihasilkan oleh puan Endon dari bandar ini pada tahun 2007. Justeru saya berharap agar usaha dan kejayaan beliau menjadi ikutan terhadap pengusaha makanan dalam bandar Sri Aman selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Magdeline Lungan Ajang dan Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Sri Aman, Badin Unor.

Pesta Bumbu Bubur Pedas 2009 yang bermula semenjak Jumaat lalu telah dimeriahkan dengan aktiviti promosi ‘Sri Aman Kitchen’, Pertandingan Bertandak / Bermukun, Pertandingan Karaoke, Demonstrasi dan Pameran Berasaskan Bumbu Bubur Pedas dan Gerai Jualan Beraneka.

Orang ramai yang berkunjung ke pesta turut berpeluang untuk membeli masakan popular Sri Aman berasaskan bubur pedas, makanan kering seperti Kerepek Pisang pelbagai perasa, Kuih Sepit, Kuih Cina, Herba Kacang Ma, Beras Tempatan dan banyak lagi.

Tamat.


No comments:

Post a Comment