Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 November, 2009

Ketua kampung harus bantu kerajaan cari penduduk bagi jayakan SUBUR - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SIMUNJAN, Rabu (11 Nov) – Ketua Kampung atau Tuai Rumah dalam kawasan Parlimen P.202 Sri Aman dinasihat agar bekerja keras untuk membantu kerajaan menyenaraikan nama penduduk yang layak menerima Subsidi Beras Untuk Rakyat atau SUBUR menerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata penyenaraian nama penduduk yang layak untuk menerima SUBUR oleh Tuai Rumah atau Ketua Kampung amat penting dilakukan sekarang sebelum kupon bantuan terbabit mula diagihkan pada bulan Februari tahun hadapan.

“Penyenaraian nama penduduk yang layak untuk menerima bantuan SUBUR menerusi program e-kasih selama ini tidak semestinya berjaya secara menyeluruh memandangkan masih terdapat ramai penduduk yang layak namun tercicir daripada senarai terbabit.

“Oleh itu peranan Tuai Rumah amat penting dalam perkara ini. Saya mahu Tuai Rumah bertindak segera mencari anak buah masing-masing yang layak untuk menerima bantuan SUBUR ini sebelum kuponnya diagihkan pada tahun hadapan,” menurut beliau.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Balai Raya bertempat di Kampung Kesindu, dalam daerah kecil Simunjan, Kota Samarahan pada hari Ahad lepas.

Bagaimanapun nama para penduduk yang disenaraikan dalam MPPP hasil bantuan Tuai Rumah itu nanti menurut beliau akan diteliti terlebih dahulu sebelum ia diluluskan bagi tujuan penerimaan SUBUR.

Sementara itu kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Industri tambah Masir juga bakal menubuhkan projek K-Masjid dan K-Gereja di setiap kawasan parlimen dalam negara ini.

“Hanya sebuah masjid dan gereja bagi setiap kawasan parlimen sahaja akan dipilih untuk tujuan ini. Masjid dan gereja yang terpilih akan diperuntukan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) bagi tujuan itu,” katanya tanpa menyatakan tarikh perlaksanaan projek K-Masjid dan K-Gereja berkenaan.

Justeru Masir berharap agar penduduk khususnya dalam kawasan Parlimen Sri Aman untuk memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan kepada mereka selepas ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) kawasan Simunjan, Danny Edward, Temenggung Anthony Nipa, Tuai Rumah Robert Gana Jampong, Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin, Abah Unggie, wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masir menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kesindu bagi tujuan mempertingkatkan taraf Balai Raya Kampung Kesindu itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment