Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 November, 2009

Awas taktik terbaru pembangkang, nasihat Snowdan kepada penduduk kampung


Caption: RASMI...Snowdan (kiri) dan Masir (kanan) bersama Tr Gana (dua kiri) dan Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Kesindu, Tutong Intai sebaik sahaja membuka tirai sebagai tanda perasmian Balai Raya Kampung Kesindu pada Ahad lalu.

SIMUNJAN, Rabu (11 Nov) – Pihak pembangkang kini mempunyai taktik kotor terbaru untuk menghasut penduduk di kawasan luar bandar khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin demikian menurut wakil rakyatnya Snowdan anak Donald Lawan.

Menurut beliau, pihak terbabit yang terdiri daripada seorang individu lelaki dan wanita bertindak mengunjungi rumah panjang penduduk dalam kawasannya dengan menggunakan pakaian seragam (uniform) jabatan kerajaan untuk menghasut penghuni di situ agar membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Baru-baru ini saya telah menerima laporan bahawa kumpulan terbabit telah menggunakan uniform Jabatan Kebajikan ketika mengunjungi penghuni rumah panjang dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman yang kononnya datang untuk membuat tinjauan kebajikan hidup penghuni di situ.

“Mereka cukup pintar. Sebaik sahaja mendedahkan kelemahan kebajikan hidup penghuni di situ mereka kemudiannya bertindak memutarbelit luahan penghuninya dengan harapan agar mereka menbenci pihak kerajaan BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Raya bertempat di Kampung Kesindu, Simunjan pada hari Ahad lepas.

Bagaimanapun tindakan kumpulan pembangkang terbabit menurut Snowdan tidak akan berjaya memandangkan kerajaan BN bakal menunaikan janjinya untuk membangunkan hidup penduduk Pantu menerusi perlaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), jambatan dan pembekalan air bersih mulai tahun hadapan.

“Kumpulan terbabit dijangka akan terus berkunjung ke beberapa buah rumah panjang yang lain dalam kawasan DUN Balai Ringin ini bagi tujuan yang sama (menghasut penghuni rumah panjang).

“Justeru saya menasihatkan penduduk agar berhati-hati ketika menerima kehadiran mereka di rumah panjang masing-masing. Jangan memudah tertipu dengan kata-kata mereka hanya kerana uniform jabatan kerajaan yang kumpulan tersebut kenakan,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) kawasan Simunjan, Danny Edward, Temenggung Anthony Nipa, Tuai Rumah Robert Gana Jampong, Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin, Abah Unggie, wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Snowdan pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bagi tahun 2009 berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kesindu dan RM3,000 kepada Tr Jepit, Kampung Spaoh Raba, Simunjan hasil peruntukan menerusi program e-khas.

Tamat.



No comments:

Post a Comment