Caption:
1.SERIUS...Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Murni Hayarti sedang menyampaikan seminar kepada peserta ketika berlangsungnya program hari ini.
2.MINAT...Antara penduduk yang hadir Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia di sini hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (14 Nov) – Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman telah menganjurkan Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.
Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia yang dihadiri oleh 300 orang penduduk dari sekitar bandar Sri Aman bermula dari jam 8.30 hingga 4 petang hari ini bakal berakhir esok (15 November) pada jam 5 petang.
Ketua cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari ketika ditemui pada majlis itu berkata program ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran penduduk tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.
“Kita mahu pengguna membuat keputusan yang bijak dan rasional menerusi seminar ini disamping melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan hak pengguna demi membolehkan mereka mencapai tahap hidup lebih berkualiti selepas ini.
“Malahan menerusi seminar ini kita juga mahu para peserta menjadi agen perubahan penduduk mengenai isu kepenggunaan disamping membentuk mereka sebagai penyebar maklumat kepenggunaan bagi menangani masalah pengguna menerusi saluran yang betul,” katanya.
Selain itu program ini menurut Roslan juga bertujuan untuk mempromosi produk Sri Aman yang berkualiti dan seterusnya dijadikan sebagai platform kepada usahawan untuk mewujudkan jaringan perniagaan masing-masing.
“Untuk itu pihak kita telah menjemput sejumlah 16 buah syarikat swasta, persatuan dan agensi kerajaan untuk sama-sama menjayakan seminar dan kempen membeli barangan buatan Malaysia ini,” menurut beliau.
Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia pada hari ini telah didahului menerusi program ceramah dan kaunter promosi produk oleh 16 buah syarikat swasta, persatuan dan agensi kerajaan dalam bandar ini.
Program ini yang disambung bermula jam 8 pagi keesokan harinya (15 November) akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan gubahan bunga, gerai kreatif, fotografi, kek lapis, andaman pengantin, hiasan kenderaan pengantin dan persembahan peragaan fesyen pakaian.
Tamat.
No comments:
Post a Comment