Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 November, 2009

Analisis Berita Isu Marina

Kini sudah heboh satu Sarawak mengenai kes seorang pelajar perempuan dari bandar Sri Aman yang dilaporkan gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera.

Marina Unau, pelajar aliran Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang telah memperoleh keputusan 9A 1B menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas.

Walaupun beliau secara lazimnya difikirkan sebagai seorang Bumiputera kerana ayahnya Unau anak Liap berketurunan Iban manakala ibunya Wong Pick Sing pula berketurunan Cina namun Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak telah menyatakan bahawa Marina adalah Bukan Bumiputera.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang Bumiputera jika ibu dan bapanya adalah merupakan seorang Peribumi Sarawak.

Peristiwa ini sememangnya membuka mata semua penduduk dalam negeri ini. Setelah isu ini diterbitkan dalam beberapa akhbar tempatan bermula 29 Oktober lepas, ramai pihak telah memberi pelbagai reaksi berhubung perkara itu.

Mana tidaknya kerana mereka selama ini memikirkan bahawa jika si ayah adalah penduduk Peribumi (Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu) Sarawak maka keturunan mereka sudah semestinya seorang Bumiputera walaupun pasangan hidup mereka bukan seorang penduduk Peribumi dalam negeri ini.

Justeru terdapat pelbagai pihak yang menuding jari kepada pemimpin lama seperti Temenggung Jugah atau Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan berhubung permasalahan terbabit kerana mereka percaya bahawa perkara itu digubal dalam perlembagaan ketika Sarawak membantu penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 dahulu.

Menerusi artikel ini penulis ingin meluahkan pendapat berhubung isu kegagalan Marina untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi yang sememangnya mengaitkan persoalan orang ramai terhadap perlaksanaan Konsep 1Malaysia selepas itu.

Mungkin wujud dua saranan sesetengah pihak berhubung isu ini:

Yang pertama: Mansuhkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak dan ganti dengan perkara yang baru manakala yang kedua ialah: Kementerian Pengajian Tinggi perlu ubahsuai semula syarat kemasukan pelajar Sarawak ke peringkat pengajian matrikulasi atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Saranan manakah yang lebih anda suka? Bagi penulis ialah saranan yang kedua. Ini kerana memansuhkan semula Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak adalah bukan perkara yang mudah.

Penulis tidak fikir begitu senang bagi barisan pemimpin lama negeri ini untuk mencadang dan merangka perkara mengenai penetapan status ‘Bumiputera’ kepada penduduk Sarawak sebelum wujudnya perlembagaan terbabit berhubung penubuhan Persekutuan Malaysia pada 46 tahun yang lepas.

Setelah melalui proses tertentu maka Perkara 161A(6)(b) Sarawak telah digubal bagi menjaga dan memelihara hak penduduk Bumiputera dalam negeri ini sebaik sahaja Sarawak menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Persekutuan Malaysia.

Itulah yang dimahukan oleh barisan pemimpin lama kita setelah mungkin puas mereka berfikir bahawa: Adakah hak penduduk Peribumi negeri ini akan kekal terjamin jika Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia nanti?

Jika itu hendaknya perkara yang dituntut dalam Perkara 161A(6)(b) Sarawak maka sudah tentunya kesannya nanti akan memberi impak terhadap proses ‘intergrasi’ penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khususnya dari perkahwinan campur.

Bimbang kerana si anak bakal dianggap Bukan Bumiputera maka akan timbul perasaan dilema dikalangan penduduk Peribumi dalam negeri ini jika mereka ingin menjalinkan ikatan hidup dengan pasangan Bukan Peribumi masing-masing.

Lebih meresahkan ialah apabila mereka menyedari bahawa penduduk berstatus Bumiputera dalam negara ini mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding dengan penduduk Bukan Bumiputera terutama sekali dari bidang pendidikan dan ekonomi.

Sememangnya tidak wajar bagi penduduk negeri kita yang mempunyai hubungkait dengan isu masalah Marina sebelumnya baru menyedari hakikat mengenai Perkara 161A(6)(b) Sarawak memandangkan kurangnya pendedahan terhadap penduduk mengenai fakta itu selama ini.

Atas sebab itulah penulis sebelum ini cenderung memilih saranan kedua iaitu pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu ubahsuai semula syarat kemasukan pelajar Sarawak ke peringkat pengajian matrikulasi atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Mengubahsuai semula syarat kemasukan pelajar Sarawak ke pengajian matrikulasi khususnya dilihat amat penting memandangkan penulis percaya bahawa terdapat ramai golongan generasi muda dalam negeri ini yang berdarah kacukan (Peribumi dan Bukan Peribumi) disebabkan oleh isu terbabit.

Mungkin pihak Kementerian Pengajian Tinggi atau Kementerian Pelajaran boleh melonggarkan syarat kemasukan pelajar Sarawak yang dianggap Bukan Bumiputera (bapa Peribumi dan ibu Bukan Peribumi) ke pengajian peringkat matrikulasi atau IPTA di masa akan datang.

Caranya ialah golongan berkenaan diberikan ‘quota khas’ di pusat pengajian matrikulasi atau IPTA dalam negara ini atau setidak-tidaknya diwujudkan status khas kepada golongan ini dari segi bidang pendidikan.

Dengan berbuat demikian penduduk negeri Sarawak yang kini mempunyai anak kecil berdarah kacukan Peribumi (bapa) dan Bukan Peribumi (ibu) tidak akan dirundung masalah ‘tekanan jiwa’ pada masa hadapan.

Malahan soal pendidikan golongan ini juga akan terus terbela walaupun selepas ini mereka masih dikelaskan sebagai penduduk Bukan Bumiputera kerana disebabkan oleh Perkara 161A(6)(b) Sarawak sebelum ini.

Sayugia diingatkan bahawa adalah tidak mudah untuk mewujudkan perlaksanaan Konsep 1Malaysia secara menyeluruh terhadap penduduk berbilang kaum dalam negara ini khususnya di Sarawak sekiranya isu berkenaan terus diabaikan oleh kerajaan.

Konsep 1Malaysia masih boleh dijayakan walaupun wujudnya status penduduk Bumiputera dan Bukan Bumiputera dalam negeri ini asal sahaja aspek pendidikan dan ekonomi golongan ini terus terpelihara.

Bak kata Unau anak Liap iaitu ayah kepada Marina ketika ditemuramah berhubung isu terbabit: “Apa guna 1Malaysia jika kita hanya duduk makan semeja namun sebaliknya pendidikan anak-anak terabai (kerana isu terbabit)?”

Justeru isu Marina dilihat sebagai satu cabaran buat kerajaan yang kini cuba menyatukan semua penduduk di bawah konsep 1Malaysia. Bagaimanapun penulis percaya bahawa kerajaan akan dapat mencari keadah penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan isu terbabit.

Paling penting ialah semua penduduk Bumiputera dan Bukan Bumiputera dalam negara ini khususnya di Sarawak dapat bersama-sama sama menikmati faedah di bawah perlaksanaan konsep 1Malaysia.

Persoalannya ialah adakah perkara ini dapat diselesaikan dengan hanya bertindak memansuhkan Perkara 161A(6)(b) Sarawak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selama ini gara-gara disebabkan isu terbabit? Tepuk dada tanya selera.


Tamat.













No comments:

Post a Comment