Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 November, 2009

Satu masakan Bumbu Bubur Pedas untuk setiap restoran - Shamshuddin

SRI AMAN, Ahad – Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji mengalakkan setiap pengusaha restoran atau premis makanan dalam daerah Sri Aman untuk mempromosi produk makanan berasaskan Bumbu Bubur Pedas dalam menu makanan masing-masing selepas ini.

Menurut beliau para pengusaha makanan dalam bandar ini digalak untuk memperkenalkan produk terbabit memandangkan produk Bumbu Bubur Pedas kini mempunyai potensi yang cukup besar dalam pasaran.

“Saya mengalakkan setiap pengusaha dalam bandar ini sekurang-kurangnya memperkenalkan satu menu makanan yang berasaskan produk berasaskan Bumbu Bubur Pedas.

“Dengan berbuat demikian para pengunjung ke bandar ini akan menikmati produk makanan terbabit dan seterusnya membantu mempromosi produk berasaskan Bumbu Bubur Pedas ke luar kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Bumbu Bubur Pedas 2009 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.

Dengan mempromosi produk makanan berasaskan Bumbu Bubur Pedas di setiap premis makanan dalam bandar ini, usaha terbabit menurut beliau secara tidak langsung dapat membantu pihaknya untuk menjadikan Sri Aman sebagai Wilayah Pengeluaran Makanan terkemuka dalam negeri ini menjelang tahun 2020.

“Usahawan wanita khasnya perlu diberi bantuan sekiranya mereka mahu berkecimpung dalam bidang pengeluaran makanan berasaskan kepada produk Bumbu Bubur Pedas dalam bandar ini.

“Mereka perlu dibimbing dari segi teknik pembungkusan yang berkualiti, bijak mengeksploitasi kegunaan beras untuk produk ini (Bumbu) dan latihan lanjut untuk menghasilkan produk berkenaan,” katanya.

Majlis Penutupan Pesta Bumbu Bubur Pedas 2009 yang berlangsung hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan), Datin Hajah Fatimah Abdullah.

Hadir sama ialah wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Magdeline Lungan Ajang dan Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Sri Aman, Badin Unor.

Tamat.

No comments:

Post a Comment