Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 November, 2009

Kanak-kanak Tabika KEMAS Betong terima sijil dan anugerah


Caption: TAHNIAH...Isik sedang menyampaikan sijil kepada Abang Khirul Amirunn Abang Daud ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

BETONG, Ahad (16 Nov) – Seramai 115 kanak-kanak Tabika KEMAS Betong menerima anugerah kecemerlangan dan sijil menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, Sekolah Menengah Teknik (SMK) Saint Augustine Betong kelmarin.

Kesemua 115 kanak-kanak dari enam buah sekolah tadika dari Zon Betong itu telah menerima sijil dan anugerah kecemerlangan yang disampaikan oleh Isik Lutau iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap wakil kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Isik menerusi ucapannya pada majlis itu berharap agar ibubapa dalam kawasan Betong untuk menghantar anak kecil masing-masing ke sekolah Tadika yang berdekatan bagi tujuan pra-sekolah.

“Ibubapa perlu memperkenalkan erti dunia pendidikan terhadap anak-anak yang belum memasuki alam sekolah rendah dengan menghantar mereka menyertai program pendidikan Tadika memandangkan ia penting untuk kebaikan mereka semua.

“Mereka perlu merebut peluang ini memandangkan program Tadika juga adalah merupakan salah sebuah daripada asas pendidikan negara,” menurut beliau.

Selain itu Isik juga menasihatkan ibubapa di kawasan Betong untuk mengamalkan tabiat menabung wang mulai sekarang demi memudahkan anak-anak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di masa akan datang.

“Justeru singkirkan segala tabiat tidak berfaedah yang membabitkan sumber kewangan masing-masing selepas ini. Menabung adalah lebih baik demi menjamin masa depan pendidikan anak-anak,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Pra-Sekolah KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) Sarawak, Fatimah Rosli, Pegawai KEMAS Betong, Farida Suntik, Penyelia Kanan KEMAS Betong, Norkusaini Bujang dan Pengetua SMK Saint Augustine Betong, Paul Langgang.

Majlis penyampaian anugerah dan sijil di SMK Saint Augustine Betong ini turut dimeriahkan dengan persembahan silat dan tarian oleh kanak-kanak Tabika Kampung Tengah Betong dan persembahan koir oleh kanak-kanak Tabika KEMAS Saint Augustine.

Majlis turut menyaksikan Norhumairah binti Normanhismam dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Tabika Tahun 2009 diikuti oleh Nadhira Nen, Fatin Husna Mahadas dan Aiman Zufri Zainuddin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment