Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 November, 2009

AVON sumbang RM8,000 kepada Pusat PDK Sri Aman


Caption: UNTUK ALBUM...Sharifah (tengah), Lina (kanan), Darmawati (kiri) dan Rohana (kiri sekali) merakamkan gambar kenangan ketika menerima replika cek bersama pelatih PDK Sri Aman dan kakitangan AVON di sini hari ini.

SRI AMAN, Selasa (17 Nov) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila muncul sebagai institusi kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) yang pertama menerima sumbangan kewangan daripada syarikat Avon Cosmetics (M) Sendirian Berhad dalam negeri ini.

Sumbangan bernilai RM8,000 ini telah disampaikan oleh Pengurus AVON Zon 203, Darmawati Mas kepada Pengerusi PDK Sri Aman, Lina Andom Goh menerusi majlis yang berlangsung di bilik mesyuarat restoran Tandang Sari di sini hari ini.

Darmawati ketika ditemui Utusan Sarawak menjelaskan bahawa sumbangan kewangan terbabit adalah merupakan sebahagian daripada program Ihsan Aidilfitri yang dilaksanakan oleh Avon Cosmetics (M) Sendirian Berhad semenjak tahun 2004 dahulu.

Perlaksanaan program ini menurut beliau bertujuan untuk membantu mereka yang amat memerlukan disamping meringakan beban golongan anak yatim sejajar dengan nilai AVON untuk mewujudkan ikatan persahabatan dan kasih-sayang dikalangan penduduk.

“Menerusi program Ihsan Aidilfitri ini pihak kami dengan kerjasama Celebriti Pengacara Televisyen Masakan Terbaik Dunia sekarang iaitu Chef Wan telah menghasilkan buku resipi iaitu Sajian Tradisi Bersama Chef Wan 2009 bagi tujuan jualan.

“Hasil jualan buku resepi ini kemudiannya diagihkan dalam bentuk sumbangan kepada tiga buah badan kebajikan pada tahun ini antaranya ialah Pusat PDK Sri Aman (Sarawak), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (PEKA YATIM) dan Rumah Anak-Anak Yatim / Miskin Taman Baiduri Selangor,” katanya.

Selain itu kata Darmawati, syarikat Avon Cosmetics (M) Sendirian Berhad setakat ini telah pun menyumbangkan sejumlah RM130,000 kepada golongan anak-anak yatim di Malaysia.

“Justeru diharap agar sumbangan ini dapat membantu pihak pusat PDK Sri Aman untuk merangka dan melaksana pelbagai program kebajikan dalam kawasan ini pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Kebajikan Sri Aman, Rohana Isnawi, para pengedar utama AVON dan kakitangan pusat PDK Sri Aman.

Terdahulu AVON adalah merupakan syarikat global dalam menghasilkan produk kecantikan menerusi perolehan pendapatan sebanyak USD8 billion setahun.

Tamat.


No comments:

Post a Comment