Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 November, 2009

Pemilik Tanah NCR masih belum tahu manfaat program pembangunan tanah - Nipa

SIMUNJAN, Jumaat (13 Nov) – Masih ramai pemilik Tanah NCR di kawasan Simunjan yang benar-benar faham atau tahu tentang rancangan pembangunan tanah oleh kerajaan pada masa sekarang demikian menurut seorang ketua kaum dari Simunjan iaitu Temenggung Anthony Nipa.

Ini kerana para pemilik Tanah NCR di sini kata beliau masih belum tahu membezakan mana ‘yang mana satu kaca dan yang mana satu belian’ berdasarkan kepada minat mereka terhadap rancangan pembangunan tanah oleh kerajaan setakat ini.

“Disebabkan perkara ini wujudnya tiga kategori minat pemilik Tanah NCR terhadap hal rancangan pembangunan tanah oleh kerajaan yang mencakupi projek penanaman komersial terhadap tanah milik mereka.

“Kategori pertama ialah mereka yang tahu mengenai untung dari rancangan pembangunan tanah NCR ini, kategori kedua ialah pemilik Tanah NCR yang mengambil sikap ‘duduk atas pagar’ dan yang ketiga ialah mereka yang menjadi ‘batu api’ untuk melemahkan minat pemilik Tanah NCR untuk menyertai program tersebut,” katanya.

Anthony berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Raya bertempat di Rumah Robert Gana Jampong, Kampung Kesindu dalam daerah kecil Simunjan, Kota Samarahan di sini baru-baru ini.

Kategori pertama menurut beliau ialah golongan pemilik Tanah NCR yang tahu berterima kasih terhadap kerajaan kerana memperkenalkan rancangan pembangunan tanah yang boleh memberi keuntungan terhadap mereka.

Manakala bagi kategori kedua pula, golongan ini kata Anthony hanya bertindak menunggu tahap kejayaan pemilik Tanah NCR yang menyertai rancangan pembangunan tanah oleh kerajaan.

“Jika pemilik Tanah NCR yang lain berjaya maka mereka akan ikut. Namun kategori ketiga adalah paling ‘buruk’ memandangkan mereka menghasut pemilik Tanah NCR yang lain agar tidak menyertai rancangan pembangunan tanah oleh kerajaan.

“Justeru diharap agar pemilik Tanah NCR lebih bersikap positif dalam perkara ini. Jika mereka mengikut telunjuk jari golongan yang ketiga maka nescaya mereka ini akan ketinggalan berbanding pemilik Tanah NCR yang sudah berjaya menerusi program itu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Balai Ringin, Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) kawasan Simunjan, Danny Edward, Temenggung Anthony Nipa, Tuai Rumah Robert Gana Jampong, Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin, Abah Unggie, wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment