Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 November, 2009

RM45 juta untuk upgrade Loji Perawatan Air di Empangu, Bayai, Sri Aman kata Harden


Caption: SELAMAT HARI RAYA KORBAN...Harden sedang menyampaikan bungkusan berupa daging Lembu kepada Penghulu Haji Salleh ketika berlangsungnya majlis hari ini.


SRI AMAN, Khamis (26 Nov) – Loji Perawatan Air di Empangu, Bayai, Sri Aman bakal dinaiktaraf tidak lama lagi dengan adanya peruntukan bernilai RM45 juta daripada Kementerian Kemudahan Awam dalam masa terdekat kelak.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata projek naiktaraf loji terbabit secara tidak langsung akan menyalurkan bekalan air bersih kepada 70 peratus penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang selepas ini.

“Permohonan bagi mendapatkan peruntukan berkenaan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan semenjak dua tahun lepas dan kini sudah ada ‘hitam putih’ daripada pihak mereka untuk menjayakan usaha naiktaraf ini.

“Sekiranya peruntukan tersebut sudah disalurkan kelak, kerja menaiktaraf akan dilakukan segera bagi memperluas penyaluran bekalan air bersih terhadap penduduk dalam kawasan DUN Simanggang ini,” katanya sambil menambah bahawa hanya 60 peratus penduduk dalam kawasan DUN terbabit menikmati bekalan air bersih buat masa sekarang..

Beliau yang juga ADUN Simanggang berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan Majlis Pengagihan Daging Lembu sempena Perayaan Hari Qurban bertempat di Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah Sri Aman hari ini.

Selain itu kata Harden sejumlah 80 peratus penduduk dalam kawasan DUN Simanggang akan dapat menikmati bekalan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) menjelang akhir tahun 2010 nanti.

Tanpa menyatakan kos projek tersebut, beliau menjelaskan bahawa kerja penyediaan RES akan dilakukan di kawasan Beleti, Tinting Lalang, Nyakai, Sinjur dan dari Ijok hingga ke simpang Kelah.

“Selebih 20 peratus lagi kawasan iaitu di Ulu Undop, Batu Lintang masih belum menerima RES pada masa sekarang. Kita akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi bagi menyalurkan RES di sana selepas 2010 nanti,” katanya.

Terdahulu beliau telah mengagihkan daging Lembu kepada 240 buah keluarga muslim dari kawasan perumahan dalam bandar ini antaranya ialah Kampung Muhibah, Taman Vistagro, Taman Srijaya, Taman Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) I, Taman RPR II, Taman Harmoni dan Taman Sentosa Indah.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bagi Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pengerusi Pengurusan Masjid Darul Syakirin Kampung Muhibbah Sri Aman, Haji Masra Tengku Udin, para Ketua Kampung dan pengerusi taman perumahan dari kawasan berdekatan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment