Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 November, 2011

Perhebatkan kelahiran modal insan dari kawasan luar bandar


Caption: SELAMAT DATANG...Rayong sedang diiringi kakitangan SK Ridan, Engkilili sebaik sahaja tiba bagi merasmikan majlis tersebut.

ENGKILILI, Jumaat (4 Nov) – Pewaris masa depan pembangunan negara juga bergantung kepada anak-anak dari kawasan luar bandar demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Justeru beliau berharap agar pihak sekolah dan ibubapa di kawasan luar bandar khasnya di kawasan Engkilili memainkan peranan lebih aktif untuk mendidik anak-anak demi tujuan terbabit selepas ini.

“Semua pihak harus sedar bahawa masa depan pembangunan negara bukan hanya terletak di bahu anak-anak dari kawasan bandar namun turut mencakupi anak-anak yang juga tinggal di kawasan pedalaman.

“Dengan kata lain anak-anak dari kawasan luar bandar juga terangkum dalam golongan modal insan yang perlu dididik serta diasuh untuk mengisi sektor pembangunan negara di masa akan datang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau 2011 anjuran Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ridan bertempat di dewan sekolah terbabit, Engkilili kelmarin.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk luar bandar untuk mengutamakan aspek pendidikan anak-anak memandangkan ia amat penting bagi memastikan hala tuju hidup mereka.

“Pendidikan itu modal penting dalam kehidupan. Jadi saya berharap agar semua ibubapa khasnya mereka yang berada di kawasan luar bandar untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap pendidikan anak-anak selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Zainie Aji iaitu wakil kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Guru Besar SK Ridan, Insil Jimbau, Yang Dipertua PIBG SK Ridan, Jensen Ancheh dan ketua kaum di sini.

Rayong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada SK Ridan untuk tujuan membaiki dewan di situ begitu juga peruntukan RM10,000 daripada Nyalau bagi tujuan yang sama.

Tamat.


No comments:

Post a Comment