Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 November, 2011

Penutup besi di Kampung Hilir dicuri


Caption: PERLU TINDAKAN...Kemunculan lubang besar yang dalam berhubung kecurian besi penutup di situ boleh menimbulkan risiko kemalangan jalan raya di situ selepas ini.

SRI AMAN, Sabtu (26 Nov) – Sikap rakus dan tamak manusia terhadap harta benda kerajaan yang mempunyai nilai harga tertentu di pasaran sememangnya boleh mengundang bahaya kepada orang lain.

Bahaya akibat sikap tamak golongan tidak bertanggungjawab ini boleh dilihat apabila penutup besi jalan di Kampung Hilir, Sri Aman dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab semenjak seminggu lepas.

Penutup besi sepanjang 50 sentimeter persegi berkenaan terletak di tengah jalan menuju ke Lingga dan seterusnya boleh mengundang bahaya kepada mana-mana kenderaan terutama sekali motorsikal yang lalu lalang di kawasan tersebut.

“Saya yakin tayar kenderaan seperti Perodua Kancil, Proton Saga dan lain-lain kenderaan bersaiz sederhana boleh tenggelam di dalam lubang berkenaan apatah lagi kenderaan seperti motorsikal.

“Lubang seperti ini boleh menimbulkan kerosakan yang besar terhadap kereta. Namun jika motorsikal yang melanggar, saya yakin penunggang mungkin boleh terpelanting ke atas dada jalan selepas itu,” kata seorang pengguna kenderaan iaitu Morgan.

Pengguna kenderaan dari kawasan Lingga yang mahu menuju ke Sri Aman katanya akan menanggung risiko kemalangan yang lebih besar selepas ini terutama sekali ketika waktu malam.

Sementara itu seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu belum ada sebarang kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku berhubung kehilangan penutup besi berkenaan.

“Itu tunggu masa saja. Sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk menutup semula lubang pada jalan berkenaan saya yakin akan ada kemalangan jalan raya berlaku di situ selepas ini,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang lebih mengutamakan keuntungan diri masing-masing berbanding dengan nyawa pengguna jalan raya di sini berhubung kejadian itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment