Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 November, 2011

Masjid Babusalam, Kampung Serabang terima bantuan dari Tabung Baitulmal Sarawak

Caption: IKHLAS...Alamshah (kiri) menyampaikan bantuan kepada Sapiee (kanan) sambil disaksikan oleh Shamshul (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

BETONG, Jumaat (25 Nov) - Pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Pejabat Cawangan Sri Aman menyampaikan bantuan kelengkapan asas masjid kepada Masjid Babussalam, Kampung Serabang, Betong kelmarin.

Ketua Unit Pendaftaran Wakaf TBS, Wan Alamshah bin Wan Senawi menerusi perbincangan dan taklimat pada majlis itu berkata masyarakat am perlu mengetahui  selok-belok pendaftaran wakaf selepas ini.

Keberhasilan wakaf jelas beliau pada hakikatnya amat bermanfaat pada seluruh umat Islam jika kefahaman mengenai perkara ini benar-benar tertunjam dalam buah pembicaraan harian masing-masing.

“Bertitik tolak dari situlah kesan wakaf mula dirasai dan entiti masyarakat secara tidak langsung akan bergerak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wakaf sentiasa seiringan dengan peredaran zaman,” katanya.

Manakala Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri Manap selaku Ketua Zon Selatan, berkata bahawa bantuan yang disalurkan oleh mana-mana pihak perlulah diaplikasi dengan cara menguntungkan masyarakat Islam dan bukannya membuka ruang pertelagahan sesama sendiri.

Ini kerana terdapat segelintir jawatankuasa pengurusan dalam sesebuah entiti Islam katanya berbalah akan sesuatu kemudahan yang telah diberikan dengan alasan remeh walaupun terdapat keutamaan yang lebih besar untuk disaring.

“Hal seperti ini akan menimbulkan ketidakselesaan terhadap mana-mana pihak yang ingin menyumbang bantuan kepada mereka selepas itu sehingga melahirkan keresahan banyak pihak terutama bagi mereka yang memerlukan bantuan dan pertimbangan,” katanya.

Shamsul menerusi majlis itu menasihatkan semua pihak agar mencontohi tauladan sesebuah badan Islam yang telah memainkan peranan masing-masing dengan penuh berkhemah ketika mengendalikan bantuan berkenaan.

“Sayugia diingatkan bahawa manfaat sebenarnya bukan diukur dari jumlah peralatan yang diperolehi menerusi bantuan terbabit tetapi menerusi aktiviti usahasama yang membawa kebaikan kepada semua masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu majlis penyampaian peralatan yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Babussalam, Kampung Serabang itu telah diketuai oleh Pengerusi Pengurusannya iaitu Sapiee Ludin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment