Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 November, 2011

JKKK perlu dibarisi muka senior dan muka junior - Harden

Caption: RASMI...Datuk Harden (tengah) sambil diapit oleh Tr Umbek (kanan beliau) bersama ahli JKKK yang lain ketika menyempurnakan acara memotong kek berkenaan malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (26 Nov) – Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu terdiri daripada barisan muka lama dan baru selepas ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Dengan cara ini sesebuah JKKK berkenaan katanya akan lebih cepat maju dan berdaya saing berdasarkan kepada penggabungan pemikiran, cara dan langkah kerja antara dua buah generasi berkenaan selepas itu.

“Generasi muda yang berintelektual dan mahir menggunakan kemudahan Teknologi Komunikasi Dan Maklumat (ICT) sebenarnya boleh diserap masuk dalam sesebuah JKKK berkenaan.

“Kehadiran mereka akan memantapkan lagi sesebuah JKKK terbabit dengan para barisan pemimpinnya dibarisi oleh golongan veteran yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran sebelum itu,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam bersempena dengan Ulangtahun Ke-10 penubuhan JKKK Kampung Dayak Kejatau, Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga menasihatkan semua ahli JKKK dalam kawasan ini untuk mengenepikan kepentingan diri masing-masing demi memajukan lagi pertubuhan mereka di masa akan datang.

“Tidak boleh wujud sikap berpuak-puak dalam sesebuah JKKK itu kerana ia secara tidak langsung akan memudaratkan lagi hubungan antara para ahli dalam pertubuhan berkenaan.

“Justeru untuk memastikan JKKK maju, semua para ahli termasuk barisan pemimpin perlu bersatu-hati dan mengamalkan semangat kekitaan tanpa mengambil kepentingan diri selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kanselor Jimmy Chong, Pengerusi JKKK Kampung Dayak Kejatau, Tr Umbek Achat dan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh Sri Aman, ACP (Bersara) Jeffery Peron.

Majlis yang turut diserikan dengan upacara simbolik memotong kek ulangtahun, penyampaian insentif dan nyanyian karaoke itu menyaksikan Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 bagi tahun 2012 kepada JKKK berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment