Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 November, 2011

Kenangi mendiang orang tua kita sempena Soul Day

Caption: PILU...Para penduduk Kristian sedang membakar lilin dan meletakkan jambangan bunga di atas pusara ahli keluarga mereka ketika berlangsungnya Soul Day kelmarin.

PANTU, Khamis (3 Nov) – Pemergiaan orang Kristian akan sentiasa diperingati oleh sanak-saudaranya lebih-lebih lagi ketika berlangsung hari peringatan orang yang telah meninggal dunia atau Soul Day kelmarin.

Ketika berlangsungnya Soul Day itu, penduduk beragama Kristian akan menziarahi pusara (kubur) mendiang ahli keluarga atau sanak-saudara mereka untuk mengucapkan doa, membakar lilin dan meletakkan jambangan bunga di atas pusara terbabit.

Sudah tentunya akan timbul suasana sayu dan hiba dikalangan penduduk Kristian yang meratapi pemergiaan orang disayangi ketika berlangsungnya Soul Day di mana-mana tanah perkuburan umat Kristian di sini.

Namun begitu disebalik suasana pilu dan hiba ini, keadaan boleh menjadi amat menyedihkan jika terdapat pusara yang seolah-olah langsung dilupakan oleh ahli keluarga terdekat mendiang itu sendiri.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak di Tanah Perkuburan Kristian, Pantu mendapati bahawa terdapat orang Kristian di situ yang mengucapkan doa serta membakar lilin di atas pusara orang lain.

“Mendiang ini (lelaki) meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lepas. Namun yang amat menyedihkan di sini ialah anak-anak mendiang itu sendiri jarang menjengok kubur bapa mereka,” kata seorang penduduk.

Katanya anak-anak mendiang terbabit sudah bekerja di Kuching dan sepatutnya boleh memohon cuti untuk melawat pusara bapa mereka sendiri acapkali berlangsungnya Soul Day pada setiap tahun.

Atas sebab itu, beliau yang merupakan seorang ketua kampung di sini sentiasa mengucapkan doa untuk memberikan ketenangan terhadap si mendiang ini disamping membakar lilin di atas pusaranya.

“Jangan lupakan jasa ibubapa yang telah membesarkan kita selama ini. Walaupun sudah meninggal dunia, anak-anak si mendiang ini perlu sentiasa meluangkan masa untuk menjengok pusara mendiang ayah mereka selepas ini,” katanya.

Tinjauan Utusan Sarawak juga mendapati bahawa suasana pilu dan hiba turut melanda kawasan Tanah Perkuburan Kristian Roman Katolik (simpang Temudok) dan Tanah Perkuburan Kristian Anglican (Stutong) di Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment