10 APRIL 2020
SIMANGGANG: Bank-bank dalam bandar ini mula menjadi
tumpuan ramai semenjak Rabu lepas dipercayai berpunca daripada keinginan mereka
untuk memeriksa kemasukan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di akaun bank
masing-masing.
Keinginan ini dikesan menerusi tinjauan rambang Utusan
Sarawak yang mendapati bahawa rata-rata orang ramai hanya memeriksa baki wang
di mesin juruwang automatik (ATM) dan beredar setelah mendapati bantuan itu
masih belum disalur ke dalam akaun mereka.
Malah segelintir warga emas lelaki dan wanita juga
dilihat sanggup berbaris panjang di sebuah bank dalam bandar ini untuk memohon
kakitangan di situ memeriksa baki buku akaun simpanan wang masing-masing.
"Saya berasa amat kasihan melihat warga emas yang
berbaris di luar bank. Seharusnya anak-anak atau cucu bertindak membuka akaun
bank secara atas talian untuk mereka bagi memeriksa kemasukan BPN.
"Lebih malang lagi ialah jika mereka ini adalah
orang luar bandar. Bayangkan kos tambang atau minyak yang diperlukan oleh
mereka untuk turun ke bandar ini bagi memeriksa status BPN di bank
masing-masing semenjak Rabu lepas," kata seorang pelanggan bank di sini.
Dia juga yang juga merupakan penerima kategori Bujang BPN
berharap agar penduduk tidak terburu-buru ke bank bagi memeriksa kemasukan wang
bantuan ke akaun masing-masing kelak.
Orang ramai sebaliknya kata pemuda bujang itu hanya perlu
jimat berbelanja dengan wang sedia ada dan tidak perlu terburu-buru ke bank
dalam bandar ini untuk memeriksa kemasukan wang BPN itu.
"Mujurlah anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat
Malaysia (RELA), polis dan polis bantuan hadir di semua bank dalam bandar ini
untuk mengawal kehadiran orang ramai yang mahu mengambil duit atau memeriksa
status BPN masing-masing.
"Jika mereka ini tiada maka mungkin bank-bank dalam
bandar ini akan menjadi sesak dengan orang ramai sehingga menimbulkan risiko
penularan pandemik COVID-19 dalam diri masing-masing," katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment