Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 April, 2020

Penjara 6 bulan kerana melawan polis


SIMANGGANG: Seorang pemuda telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sri Aman pagi tadi terhadap dua pertuduhan membabitkan seorang penjawat awam di sini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh iaitu Tatcher Bong, 28, telah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaaan (KK) kerana bertindak menghalang seorang penjawat awam melakukan tugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Simpang Bungkang sekitar jam 6.45 petang pada 12 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana bertindak menakutkan secara jenayah terhadap penjawat awam tersebut juga di lokasi dan waktu yang sama.

Tatcher membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan termasuk fakta kesnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh jatuh hukuman iaitu 16 April bagi setiap pertuduhan itu dan hakim memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah juga bertindak mendenda sebanyak RM500 terhadap rakan tertuduh iaitu Alan Crossfield Wong, 21, mengikut Seksyen Peraturan 25 (1) (N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri terhadap polis di lokasi sekatan jalan raya tersebut.

Sementara itu tujuh lagi individu telah didenda sebanyak RM700 oleh Mahkamah Majistret Sri Aman semalam setelah mengaku bersalah ingkar arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Kesemua tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah) Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 melalui satu operasi serbuan ke rumah tidak bernombor di Kampung Hilir Betong.

Para tertuduh yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita itu tidak diwakili peguam pada perbicaraan itu dan didakwa melakukan kesalahan berkenaan sekitar jam 10.05 malam pada 9 April lepas.

Maris memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara selama dua minggu sekiranya masing-masing gagal membayar denda terbabit.

No comments:

Post a Comment