Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 April, 2020

Teruskan mesyuarat secara maya - Harden


SIMANGGANG: Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) rasa terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dengan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis juga turut tidak terkecuali daripada menerima kesan tersebut sekarang.

Ini kerana penularan pandemik berkenaan telah menjejaskan usaha beliau termasuk para pemimpin GPS yang lain untuk menunaikan tanggungjawab berpandukan konsep turun padang berjumpa rakyat selama ini.

"COVID-19 telah mewujudkan perbezaan yang amat ketara ketika sebelum dan selepas merebaknya pandemik itu sehingga ia membataskan pergerakan para pemimpin GPS untuk bertemu rakyat di dalam negeri ini.

"Namun kini mujurlah sudah ada Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Ia secara tidak langsung telah membolehkan saya dan para pemimpin GPS yang lain untuk terus proaktif memberi perkhidmatan terhadap rakyat di negeri ini dari masa ke semasa,"katanya.

Menerusi teknologi tersebut, Harden bersama rakan menteri dan pegawai kerajaan telah dapat menghadiri mesyuarat alam maya menerusi sidang video bagi mengupas pelbagai isu dan jalan penyelesaian mengenai masalah berkaitan COVID-19.

"Jika ketiadaan teknologi tersebut maka mungkin sukar buat saya untuk meneruskan khidmat sebagai menteri muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang untuk rakyat di kawasan sini.

"Dengan kata lain, kemajuan pesat ICT dan lain-lain teknologi berkaitan telah banyak membantu kami untuk memperkasakan tahap sistem penyampaian bagi mengatasi penularan pandemik COVID-19 dalam negeri ini," kata beliau.

Harden berkata akan terus memanfaatkan kemudahan seperti teknologi ini untuk menghadiri mesyuarat alam maya berkaitan kesejahteraan rakyat jika tidak mempunyai tugasan di lapangan kelak.

"Bagaimanapun bertemu dengan rakyat adalah keutamaan saya. Jika ada kesempatan saya akan turun padang bertemu rakyat untuk menghulur bantuan kepada mereka yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan ini," katanya.

Beliau juga menasihat rakyat dalam DUN Simanggang untuk terus cekal mengharungi penguatkuasaan PKP dalam membantu kerajaan mengawal penularan COVID-19 di dalam negeri ini.

Terdahulu Harden pada Isnin lepas telah menghadiri mesyuarat alam maya berkaitan Kajian Impak COVID-19 Terhadap Kesejahteraan Sosio-ekonomi Penduduk Sarawak dari kediamannya di Kuching.
Tamat

No comments:

Post a Comment