Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 April, 2020

Sibuk bukan alasan tak berkebun bunga - Ann @ Flora Teliang




Menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam dan suri rumah pada setiap hari sememangnya bukan satu perkara mudah buat kebanyakan wanita kerana ia amat meletihkan serta menuntut banyak masa.

Bagaimanapun bagi wanita berasal dari Selantik Ili, Pantu, Sri Aman  ini, bekerja sebagai penjawat awam dan suri rumah tidak menghalang dirinya untuk menjadikan aktiviti menanam bunga sebagai hobi yang perlu disempurnakan pada setiap hari.

Wanita tersebut, Flora Teliang, 37, berkata dia mula berjinak-jinak dalam hobi menanam bunga di belakang kediamannya dalam Taman I-Mas Village, Kota Samarahan ketika mengikut suami berpindah kerja ke Kuching dari Kapit pada tahun lepas.

"Hobi tersebut mula muncul apabila saya dan keluarga singgah di sebuah tapak semaian (nurseri) bunga di sekitar kawasan Batu 4, Bandar Raya Kuching pada bulan Ogos tahun lepas.
"Kecantikan bunga-bunga yang ditanam di dalam tapak semaian berkenaan akhirnya telah memberi ilham kepada saya menjadikan laman belakang rumah sebagai kebun bunga sehingga sekarang," kata Flora.

Disebabkan minat, wanita yang lebih mesra dengan panggilan nama Ann itu juga bertindak membeli sejumlah 46 anak pokok Adenium, Minirose dan Japanese Rose yang menelan kos antara RM28, RM58 dan RM100 bagi setiap satu.

Dengan berbekalkan ilmu yang diperoleh dari laman web sosial,  anak pokok bunga yang ditanam oleh wanita itu akhirnya berjaya membiak dengan subur sehingga menarik perhatian jiran-jiran di sebelah rumah.

"Untuk membolehkan anak pokok bunga membiak dengan subur, saya memerlukan tanah yang sudah dibakar untuk disimpan dalam pasu sebelum ia dicampur dengan sabut kelapa cincang atau sekam bakar.

"Perlu dicampur bersama tanah berkenaan juga adalah baja organik seperti najis ayam dan kambing...hasilkan campuran seperti ini maka anak pokok bunga kita akan dapat membiak dengan subur di dalam pasu kelak," katanya.

Selain itu Ann yang memiliki pengalaman bekerja sebagai penjawat awam selama 14 tahun juga bercadang mahu menjana pendapatan tambahan sekiranya pokok-pokok bunga di laman belakang rumah sudah mula menghasilkan benih pada suatu hari kelak.

"Bagaimanapun tujuan utama hobi saya ini adalah untuk mendapatkan aura positif yang boleh menjana fikiran lebih tenang dan tubuh lebih cergas di samping mengerat hubungan lebih erat sesama ahli keluarga menerusi aktiviti menanam bunga.

“Buktilah ialah apabila anak-anak dan suami mempunyai masa terluang, mereka juga akan pergi ke belakang rumah untuk membantu saya di kebun dengan aktiviti sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami dari masa ke semasa," katanya.

Sehingga kini, ibu kepada tiga orang anak itu juga turut menanam pokok Rossele dan Cili Sabah di laman belakang rumah sambil dibantu oleh suaminya iaitu Nanang Agat, 45, yang juga merupakan penjawat awam di Kuching.

"Jika tiada aral melintang saya bersama suami dan anak-anak mungkin akan membeli anak pokok bunga yang baharu demi mewujudkan keindahan di belakang laman rumah kami dalam taman perumahan ini kelak," kata Ann.

No comments:

Post a Comment