Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 January, 2020

Hospital Sri Aman baharu dijangka beroperasi 2021




Caption:

PIX 1: LAWAT...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan rombongan bergambar kenangan ketika melawat ke kawasan berhampiran tapak projek Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu di Lubok Antu semalam.

PIX 2: MENARIK...Gambar pelan ini menunjukkan rupa Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang sedang dibina di Lubok Antu dengan kos sebanyak RM28.9 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.

PIX 3: UNTUK KENANGAN...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan rombongan menunjukkan isyarat jari bagus ketika melawat Klinik Kesihatan Lubok Antu yang lama di Lubok Antu semalam.

UTUSAN SARAWAK 

LUBOK ANTU: Hospital Sri Aman yang baharu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Menurut beliau projek hospital baharu yang dikategorikan sebagai 'sakit' itu sudah mencapai status 82 peratus siap pada masa sekarang dengan perlaksanaannya kini dilihat mengalami kelewatan dari jadual sebenar.

"Struktur bangunannya kini sudah siap. Kini kita sedang menyiapkan kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan termasuk kerja pemasangan bahagian dalaman yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

"Apabila selesai, pihak kementerian akan mengambil alih projek hospital baharu itu dengan tempoh selama enam bulan diperlu bagi melaksana ujian dan pertauliahan bagi memastikan segalanya berjalan lancar,"kata beliau.

Lee berkata demikian ketika sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu bertempat di Klinik Kesihatan Lubok Antu lama di sini pada Selasa lepas.

Beliau turut memberitahu bahawa kontraktor projek hospital baharu tersebut sudah diberi dua kali lanjutan masa iaitu 460 hari dengan lanjutan masa ketiga mungkin akan dipertimbang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak.

Sementara itu Lee pada sidang media itu juga turut mengumum beberapa projek pembinaan Klinik Kesihatan yang sedang melalui proses tender dan bakal dilaksana dalam negeri ini.
Katanya, Klinik Kesihatan (Jenis 2) akan dibina di Miri, Tabuan Jaya (Kuching), Serian, Siburan, Semalau (Sarikei), Nanga Kemaleh (Julau), Long Napir (Limbang) dan Simpang Bukut (Mukah).

"Manakala itu, Klinik Kesihatan (Jenis 3 dan 5) yang sudah dilulus atau dalam proses tender sekarang ini akan dibina di kawasan Lawas, Long Busang (Belaga), Semok (Mukah), simpang Simunjan dan Long San (Baram)," katanya.

Terdahulu Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu sedang dibina di atas tanah berkeluasan 9.8 ekar dalam Lot 900, Block 12, Bukit Besai Land District di sini dengan kos sebanyak RM28.9 juta.

Projek pembinaan klinik kesihatan baharu yang dilaksana oleh kontraktornya iaitu Akobest Sendirian Berhad berkenaan telah bermula 29 Oktober tahun lepas dan dijangka siap pada 28 Oktober tahun hadapan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Syrrunnaja Adnan, Pengarah Bahagian Perancangan, Dr Nordin Salleh, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bari, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop dan para kakitangan Jabatan Kesihatan di sini.
Tamat

No comments:

Post a Comment