SIMANGGANG: Dua premis makanan dan seorang individu
perseorangan dalam bandar ini telah menunaikan tanggungjawab sosial
terhadap penghuni di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG), Mini
Stadium Sri Aman semalam.
Ketiga-tiga pihak berkenaan telah melakukan tanggungjawab
sosial tersebut dengan menghulur sumbangan makanan kepada sembilan
orang gelandangan yang masih tinggal di pusat berkenaan.
Dua premis makanan yang bertindak menghulur sumbangan
berkenaan adalah Atok Kitchen dan Astana Kopitiam manakala individu perseorangan
tersebut pula hanya mahu dikenali dengan gelaran Cik Sepet.
Jurucakap pusat tersebut ketika ditemui berkata
ketiga-tiga penyumbang makanan berkenaan telah mula melakukan tanggungjawab
sosial mereka terhadap individu gelandangan di pusat tersebut semenjak Isnin
lepas.
"Ketiga-tiga pihak berkenaan telah bertindak
menyumbang makanan mereka secara bergilir-semenjak tiga hari lepas untuk
kegunaan kesemua sembilan orang gelandangan di pusat ini.
"Tindakan ketiga-tiga pihak berkenaan dianggap murni
kerana peka terhadap nasib gelandangan yang tinggal di pusat tersebut tanpa ada
perhatian daripada saudara mara masing-masing," kata jurucakap itu.
Pihak PPSG Mini Stadium Sri Aman menurut beliau juga amat
mengalu-alukan kehadiran mana-mana individu perseorangan atau syarikat dalam bandar ini yang berminat untuk melakukan sumbangan seperti itu kelak.
"Syarikat perniagaan atau individu perseorangan
mungkin boleh mengikut jejak langkah mereka jika mahu membantu golongan
penduduk kurang berkemampuan ketika berlangsung Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) sekarang," katanya.
Terdahulu PPSG ini sedang dikawal selia oleh Bahagian
Penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Sri Aman dengan
kesemua gelandangan tersebut diberi makanan sebanyak tiga kali sehari bersama
dengan 'hygiene set' dan tilam.
Pusat ini diketuai oleh Mohamad Nazri Mohamad Sharkawi
dan Denny Sukon dari Bahagian Penguatkuasa JKMB Sri Aman sambil dibantu oleh
pekerja sukarela kebajikan, tiga anggota APM dan tiga anggota RELA yang
bertugas secara bergilir-gilir di situ.
No comments:
Post a Comment