Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 April, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan jimatkan belanja kaki nombor ke?


SIMANGGANG: Semua lapisan penduduk sekarang ini sudah berasa betapa sukarnya untuk melakukan kehendak masing-masing semenjak berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Penduduk berasa bahawa masa kini adalah sukar untuk mencari kepuasaan kerana mereka tidak lagi boleh berjoging, bermain bola sepak, berjalan di pusat beli-belah, mengadakan majlis keramaian, mengikuti perhimpunan keagamaan, berhibur di pusat karaoke dan banyak lagi.

Bagaimanapun di sebalik keluhan tersebut terdapat satu golongan penduduk yang mula menyedari bahawa wujudnya impak positif disebabkan oleh perlaksanaan PKP yang kini sudah pun dilanjutkan untuk fasa ke-3 (sehingga 28 April).

Golongan penduduk ini adalah merupakan penggemar judi nombor ramalan yang kini mula mengakui bahawa mereka telah pun 'menabung' banyak wang secara tidak sedar semenjak bermulanya penguatkuasaan PKP sekarang.

"Apabila premis menjual nombor ramalan ditutup ekoran PKP, saya mula menyimpan modal untuk membeli nombor ramalan dengan harapan agar ia akan dapat diguna apabila premis itu sudah mula beroperasi kelak.

"Bagaimanapun menjelang 31 Mac lepas, duit terkumpul saya telah mencecah RM2,000 dan terus diguna untuk membeli sebuah mesin basuh berjenama tinggi untuk kegunaan keluarga," kata seorang penggemar judi nombor ramalan di sini.

Dia yang merupakan seorang penjawat awam di sini mengakui bahawa sukar buatnya untuk membeli mesin peralatan rumah yang mahal selama ini kerana disebabkan oleh tabiat membeli judi nombor ramalan.

Manakala itu seorang pekerja swasta berkata dia mula sedar bahawa betapa banyaknya wang boleh disimpan ekoran penutupan premis nombor ramalan dalam bandar ini dan bercadang untuk membuang tabiat tersebut selepas tamat PKP nanti.

"Saya tiada masalah dari segi perbelanjaan sebagai seorang bujang. Ini kerana saya buat masa kini tidak membeli nombor ramalan dengan wang lebih RM5,000 telah berjaya dijimatkan semenjak arahan itu dikuatkuasa.

"Bagi saya, perlaksanaan PKP juga ada kebaikannya. Namun jika premis nombor ramalan sudah beroperasi semula nanti mungkin ramai kaki judi bertindak 'melabur' banyak wang di situ kerana mahu melepaskan rasa geram," kata lelaki bujang sambil berseloroh.

Terdahulu, premis jualan nombor ramalan dianggap bukan perkhidmatan penting dan telah diarahkan untuk menangguh operasi masing-masing dalam tempoh perlaksaan PKP ini.

Terdapat tiga premis menjual nombor ramalan yang sah beroperasi dalam bandar ini sebelum arahan PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas iaitu Magnum 4D, Sports Toto dan Special Cash Sweep.

No comments:

Post a Comment