Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 July, 2009

Siapa cakap BN rampas tanah rakyat - Nyalau


Caption: GAYU GURU...Nyalau (berdiri lima dari kiri) sedang melaungkan slogan Gayu Guru Gerai Nyamai bersama para jemputan sebaik sahaja selesai majlis terbabit baru-baru ini.

ENGKILILI, Rabu (1 Julai) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak mahu penduduk di kawasan parlimen beliau melapor kepada dirinya jika terdapat dakwaan yang menuduh bahawa kerajaan merampas tanah mereka di sini.

“Beritahu saya di mana kerajaan merampas tanah anda dan bila. Laporkan terus kepada sasekiranya kerajaan ada merampas tanah milik penduduk di kawasan Parlimen Lubok Antu ini supaya saya boleh turun padang untuk menyiasat perkara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan palsu oleh sesetengah pihak berhubung perkara terbabit ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak dan Pelancaran Ex-Student Reunion di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kumpang, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) menurut Nyalau selama ini telah membayar wang pampasan terhadap tanah milik penduduk di sini bagi tujuan pembangunan dan bukannya merampas tanah mereka secara sesuka hati tanpa melalui prosedur undang-undang yang sah.

Justeru kata beliau dakwaan palsu mengenai tindakan kerajaan merampas tanah penduduk di sini oleh pihak tertentu itu sebenarnya adalah bermotifkan politik demi melemahkan sokongan mereka terhadap BN.

“Penduduk di negeri ini sedia maklum bahawa kerajaan sememangnya membayar wang pampasan terhadap pemilik tanah sebelum tanah mereka diambilalih bagi tujuan projek pembangunan yang boleh membawa manfaat kepada semua penduduk.

“Kita tidak merampas tanah penduduk secara sesuka-hati seperti mana yang didakwa oleh pihak terbabit selama ini. Jadi jika mereka muncul saya berharap penduduk tidak mempercayai bulat-bulat terhadap dakwaan palsu yang mereka sampaikan,” katanya.

Bagaimanapun Nyalau menasihatkan penduduk yang menduduki kawasan tanah milik kerajaan agar berpindah ke kawasan lain demi membolehkan kerajaan menggunakan tanah terbabit bagi tujuan pembangunan di masa akan datang.

Nyalau pada majlis yang turut dihadiri oleh Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman, Syennier Jean Serit dan para ketua kaum yang lain telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM5,000 kepada SK Nanga Kumpang.

SK Nanga Kumpang, Engkilili pernah melahirkan empat orang wakil rakyat berkaliber sebelum ini iaitu Nyalau sendiri, Jawah Gerang (mantan Ahli Parlimen Lubok Antu), mendiang Andrew Janggie (mantan Ahli Parlimen Lubok Antu) dan Malcom Mussen Lamoh (Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Ai).

Tamat.



No comments:

Post a Comment