Mugshot: MONG DAGANG
SRI AMAN, Sabtu (11 Julai) –Penduduk tempatan seharusnya mempertimbangkan niat perkahwinan mereka terhadap pasangan warga asing terlebih dahulu sebelum nekad melaksanakan niat terbabit kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang.
Menurut beliau terdapat kes yang melibatkan masalah penduduk tempatan di negeri ini setelah mereka mendirikan rumah tangga bersama pasangan warga asing pilihan sendiri terutama sekali yang melibatkan hal imigresen dan pendaftaran pengenalan diri.
“Saya tidak menghalang penduduk kita untuk berkahwin dengan pasangan warga asing pilihan masing-masing kerana yang mencari kebahagian hidup itu bukannya saya sendiri tetapi individu terbabit.
“Bagaimanapun jika ingin berkahwin dengan warga asing, penduduk tempatan harus mematuhi dan menjalani undang-undang perkahwinan yang telah ditetapkan oleh negara kita serta negara pasangan hidup mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Gemilang 2009 bertempat di laman kediaman Rumah Bruen, Skim Melugu, Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman baru-baru ini.
Menurut Mong, penduduk tempatan perlu terlebih dahulu menyelesaikan hal prosedur perkahwinan di negara pasangan mereka sendiri sebelum menjalani prosedur perkahwinan mereka di negara ini.
“Jika penduduk kita gagal berbuat demikian maka akan timbul masalah membabitkan hal imigresen serta pendaftaran terhadap pasangan warga asing mereka dan anak-anak yang dilahirkan di negara ini selepas perkahwinan terbabit.
“Lebih memburukkan keadaan ialah ada diantara penduduk tempatan dan anak mereka ditinggalkan oleh pasangan hidup warga asing masing-masing disebabkan kegagalan mereka bertindak demikian dahulu,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan penduduk tempatan di sini untuk memastikan agar pasangan hidup mereka sentiasa memperbaharui passport kemasukan ke negara ini secara sah sebelum mereka layak memohon status kewarganegaraan di sini.
Hadir sama ialah Timbalan Residen Bahagian Pembangunan Sosial, Felicia Tan, Pegawai Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Jurutera JKR Sri Aman, Nasaruddin Abu Jabar, Pegawai JASA P.202 Sri Aman dan P.203 Lubok Antu, Whelton Lumpoi daan Jeoffery Ricky Maba, para wakil pegawai dan ketua kaum dari daerah ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment