SRI AMAN, Rabu (8 Julai) – Bandar Sri Aman bakal menjadi tumpuan ribuan orang pengunjung dari seluruh negeri ini apabila Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 bakal diadakan di Tebingan Sungai Sri Aman dalam bandar ini bermula 24 hingga 26 Julai nanti.
Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 yang diadakan buat kali kedua di bandar ini adalah merupakan anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, serta semua agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Bahagian Sri Aman.
“Pelbagai acara menarik akan diadakan bersempena dengan sambutan Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bermula 24 hingga 26 Julai ini nanti.
“Acara itu nanti adalah Gotong Royong, Pameran dan Jualan, Sukaneka, Pertandingan Mewarna, Potret Ikan Bulu Gergasi, Pemeriksaan Kesihatan, Pameran, Persembahan Artis, Pertandingan Memancing, Demonstrasi Luncur Benak, Pameran Pam Ski dan Persembahan Kebudayaan serta Artis,” kata jurucakap penganjur program terbabit.
Selain itu katanya acara Senaman Integrasi, Lumba Pam Ski, Lumba Bot, Pertandingan Teknik Menangkap Ikan Bulu, Pertandingan Senaman Poco-Poco, Polynemus Music Fest & Open Talent 2009, Pertandingan Tarian Tradisi, Pertandingan Citrarasa Ikan Bulu dan Ratu Ikan Bulu 2009 juga turut diadakan pada karnival itu nanti.
“Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 yang dianjurkan untuk edisi kedua selepas penganjurannya pertama pada tahun lalu ini adalah merupakan landasan ke arah menyatupadukan semua lapisan masyarakat.
“Karnival ini juga merupakan salah satu pengisian aktiviti Perpaduan di Bahagian Sri Aman disamping keunikan musim Ikan Bulu itu sendiri yang telah menjadi tarikan utama di Sri Aman,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa objektif bagi penganjuran pesta ini adalah untuk menimbulkan kesedaran dikalangan penduduk Sri Aman mengenai keunikan Ikan Bulu yang perlu dipelihara supaya ia kelak kekal sebagai identiti utama Sri Aman.
“Justeru pihak kami berharap agar orang ramai tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan suasana penganjuran Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 yang bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam dari 24 hingga 26 Julai ini,” katanya.
Tamat...
No comments:
Post a Comment