Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 July, 2009

Pelajar perlu tekun untuk berjaya nasihat Rayong

ENGKILILI, Isnin (5 Julai) – Para pelajar perlu menanam sifat ketekunan dalam diri masing-masing untuk mencapai tahap kecemerlangan akademik yang membanggakan kepada ibubapa dan masyarakat di sekeliling mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ketika berucap dalam majlis Merarau Bidai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Nanga Enteban dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Sifat ketekunan dan kesungguhan itu katanya adalah amat penting demi membolehkan para pelajar mencapai cita-cita yang diimpikan oleh mereka selama ini menerusi hasil pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

“Cita-cita tak akan tercapai sekiranya para pelajar itu sendiri kurang memberi perhatian terhadap sesi pembelajaran dalam kelas masing-masing kerana mereka tidak bersungguh-sunggah serta kurang tekun terhadap pencapaian akademik.

“Para pelajar seharusnya menyedari akan betapa pentingnya pencapaian akademik dalam diri masing-masing kerana tanpa pendidikan mereka akan ketinggalan dalam menikmati kemajuan taraf hidup yang dinikmati oleh golongan berpendidikan tinggi yang lain,” katanya.

Selain itu kata Rayong pencapaian cemerlang akademik dikalangan para pelajar secara tidak langsung membolehkan kerajaan mencapai matlamat pembentukkan modal insan berminda kelas pertama di negara ini.

Dengan adanya golongan modal insan berminda kelas pertama di negara ini, kerajaan sekaligus tidak akan menghadapi masalah untuk meneruskan kerancakkan pelan pembangunan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Untuk muncul sebagai sebuah negara maju para generasi muda terutamanya golongan pelajar pada masa sekarang haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap kecemerlangan akademik masing-masing.

“Justeru saya meminta semua pihak untuk membantu para pelajar kita mencapai tahap kecemerlangan akademik masing-masing demi merealisasikan hasrat kerajaan untuk kemajuan menjelang Wawasan 2020,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, ADUN Batang Ai Malcom Mussen anak Lamoh dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Dalam majlis itu Nyalau telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada SK Nanga Enteban manakala Rayong dan Mussen pula masing-masing turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada sekolah terbabit.

Tamat.









No comments:

Post a Comment