Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 July, 2009

66 peratus penduduk luar bandar Sarawak kini menikmati belakan elektrik 24 jam - Awang



Caption:

UNTUK ALBUM...Awang (duduk keenam dari kanan) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para dif terhormat dan penerima surat lanjutan tempoh hakmilik tanah ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Selasa (14 Julai) – Hampir 66 peratus penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini telah menikmati bekalan elektrik 24 jam dari pemasangan sistem grid oleh pihak kerajaan pada masa sekarang menurut Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Ianya menurut beliau adalah merupakan hasil usaha Kerajaan Negeri menerusi kontrak projek penyediaan Kemudahan Elektrik Luar Bandar (RES) seperti yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat bagi tempoh tahun 2008 – 2009 dan 2009 hingga 2010.

“Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta kepada pihak Kerajaan Negeri bagi tujuan penyediaan RES di negeri ini untuk tahun 2008 hingga 2009 manakala RM250 juta pula untuk tempoh tahun 2009 hingga 2010.

“Kerajaan mensasarkan sejumlah 80 peratus penduduk dari kawasan luar bandar dalam negeri ini bakal menikmati RES sebaik sahaja projek penyediaan kemudahan bekalan elektrik ini siap selepas tahun 2010 nanti,” menurut beliau.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Penyampaian Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu kerajaan menurut Awang juga akan mencari sumber alternatif seperti Micro Hidro bagi menyalurkan bekalan elektrik terhadap penduduk di kawasan pedalaman yang belum menerima kemudahan RES ini.

“Bagaimanapun saya amat gembira apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hadiah berupa usaha untuk memperhebatkan penyediaan kemudahan bekalan elektrik dan air di negeri ini bersempena dengan 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya mengalu-alukan hadiah terbabit memandangkan Sarawak masih memerlukan bantuan daripada pihak Kerajaan Pusat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan bekalan elektrik dan air kepada penduduk kawasan luar bandar dalam negeri ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan majlis penyampaian surat lanjutan tempoh Hakmilik Tanah kepada 204 orang penerima di daerah Sri Aman ini terutamanya dari kawasan Undop, Batu Lintang dan Engkilili.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Speaker Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, ADUN Jemoreng, Abu Seman Jahwie, ADUN Nangka, Datuk Awang Bemee Awag Basah, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie.

Tamat.

No comments:

Post a Comment