Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 July, 2009

Lakuang Ading cari kantau jual makanan


Caption: SABARLAH BROTHER...Lakuang (tengah) dan rakannya Billy (kiri) sedang melayan seorang pelanggan yang mahu menempah makanan berupa sayap ayam goreng di gerainya baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Julai) – Kerjaya sebagai seorang artis rakaman tidak semestinya boleh menjamin sumber pendapatan secara berterusan dan kekal dari masa ke semasa.

Justeru terdapat sebilangan artis rakaman Iban tempatan yang bertindak mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan ketika mempunyai masa terluang di kawasan masing-masing.

Levinson Nading Jablin, 22, artis rakaman Iban yang kini bernaung di bawah syarikat Golden Pearl Recording Studio juga memanfaatkan masa lapangnya dengan melaksanakan aktiviti jualan makanan di hadapan sebuah premis hiburan dalam bandar Sri Aman ini.

Dengan berbekalkan modal berjumlah RM250, beliau ternyata bijak memanfaatkan peluang dengan menjual makanan seperti sayap ayam goreng, bebola ikan, Hot Dog, kentang goreng terhadap para pelanggan yang berkunjung ke premis hiburan berdekatan gerainya pada setiap malam.

“Walaupun keuntungannya tidak seberapa besar namun perniagaan ini sekurang-kurangnya mampu memenuhi wang saku saya setiap hari berbanding daripada tidak berbuat apa-apa di rumah.

“Justeru saya bercadang menjadikan gerai saya iaitu Ading Corner sebagai platform kedua untuk menjana sumber kewangan tambahan selain sumber kewangan dari royalti jualan album atau persembahan nyanyian di mana-mana konsert,” katanya.

Nading atau nama artisnya iaitu Lakuang Ading juga turut mengupah rakannya iaitu Billy Jay William untuk membantu beliau memasak makanan yang ditempah oleh pelanggan di gerai Ading Corner yang mula beroperasi lima hari lalu.

“Jangan malu hendak berniaga secara kecil-kecilan kerana ia boleh menjadi sumber pendapatan yang terpenting sekiranya dilakukan dengan betul dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Terdahulu Lakuang mula meniti nama dalam industri lagu Iban tempatan apabila lagu nyanyian beliau berjudul Semadi Entua sebelum ini berjaya meraih tempat di hati peminat lagu Iban dalam negeri ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment