Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 July, 2009

Generasi muda Iban perlu martabatkan budaya dan adat resam kaum milik kaum sendiri - Lamat

SRI AMAN, Selasa (21 Julai) – Golongan generasi muda kaum Iban pada masa sekarang harus bertindak memartabatkan bahasa ibunda, kebudayaan dan adat resam serta ‘main asal’ kaum mereka sendiri mula sekarang.

Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai berkata usaha harus dimulakan sekarang agar golongan generasi muda kaum Iban sekarang dapat memelihara keaslian bahasa ibunda, kebudayaan dan adat resam serta ‘main asal’ kaum mereka untuk tatapan generasi akan datang.

“Oleh sebab itu kerajaan menerusi Jabatan Pelajaran Sarawak (JTS) pada hari ini buat pertama kali telah menganjurkan Pertandingan Sampi / Biau 2009 demi menarik minat golongan generasi muda kaum Iban sekarang terhadap keistimewaan budaya dan adat resam serta ‘main asal’ milik kaum asal mereka sendiri.

“Moga-moga dengan adanya pertandingan seumpama ini, golongan generasi muda kaum Iban terutamanya pelajar akan mula mempelajari dan menghayati keindahan bahasa, budaya, adat resam dan main asal kaum mereka dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Lamat berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Sampi / Biau 2009 Peringkat Zon A anjuran Jabatan Pelajaran Sarawak Bahagian Sri Aman bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga menasihatkan golongan generasi muda kaum Iban pada masa sekarang agar tidak berasa malu ketika hendak cuba mempelajari budaya, adat resam dan main asal kaum mereka sendiri.

“Bahasa Iban misalannya boleh diperkembangkan ke peringkat lebih tinggi sekiranya generasi muda kita bertindak lebih kreatif dan inovatif dalam memperkayakan penggunaan bahasa ibunda mereka sendiri.

“Aspek kreatif dan inovatif ini juga boleh diterapkan dalam usaha untuk mengangkat budaya, adat resam dan main asal kaum Iban agar identiti orang Iban akan terus dikagumi oleh penduduk kaum lain di masa akan datang,” katanya.

Justeru Lamat berharap agar semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi menanam minat golongan generasi muda kaum Iban untuk mempelajari bahasa ibunda, kebudayaan dan adat resam serta ‘main asal’ milik kaum mereka sendiri.

Pertandingan Sampi / Biau 2009 Peringkat Zon A itu menyaksikan Wilson Indi Belayong dari SMK Simanggang muncul juara pertandingan sambil diikuti oleh Gilbert Dato Adam dari SMK Saratok dan Billy Jantan Jugah dari SMK Engkilili yang menduduki kedudukan naib juara serta tempat ke-3 dalam pertandingan ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment