Mugsot:
1.TARANG...Lepas tekanan
2. EBIT...Promosi
Caption: SESAK...Kawasan tapak jualan beraneka di bandar Sri Aman kelihatan sesak dengan kehadiran ribuan orang pengunjung ketika berlangsung sambutan hari ke-2 Pesta Ikan Bulu hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (25 Julai) – Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 menerima jumlah kedatangan pengunjung yang ‘luar biasa’ ketika berlangsungnya sambutan hari kedua pesta terbabit hari ini.
Tinjauan hari ini menganggarkan lebih 8,000 orang pengunjung membanjiri kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman untuk menyaksikan pelbagai acara yang diadakan bersempena dengan penganjuran karnival itu bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang.
Antara acara yang berlangsung hari ini ialah Pertandingan Polynemus Music Fest, Pertandingan Tarian Tradisi, Lumba Enjin Bot (enjin sangkut 15 kuasa kuda), Pertandingan Senaman Poco-Poco, saringan Pam Ski dan Pertandingan Citra Rasa Ikan Bulu.
Tarang anak Abong, 36, ketika ditemui berkata Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 yang berlangsung di bandar Sri Aman bermula dari 24 hingga 26 Julai ini secara tidak langsung memberi peluang terhadap orang ramai untuk berhibur dan melepaskan tekanan kerja dalam diri masing-masing.
“Saya menganggap pesta ini sebagai sebuah acara yang menarik memandangkan ia secara tidak langsung memberi peluang terhadap orang ramai untuk menyaksikan pelbagai acara yang jarang diadakan sebelum ini.
“Atas sebab ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 di bandar Sri Aman bermula 24 Julai lalu,” katanya.
Sementara itu Ebit Seng, 27, berpendapat bahawa penganjuran Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Sri Aman sebagai sebuah bandar pelancongan terkemuka di negeri ini.
Anak jati kelahiran Melugu ini melahirkan rasa bangga memandangkan bandar Sri Aman antara bandar yang mempunyai dua acara menarik dalam tempoh dua tahun sekali iaitu Pesta Benak dan Pesta Ikan Bulu.
“Justeru saya berharap agar Pesta Ikan Bulu dapat diserapkan dalam kalendar pelancongan Sarawak di masa akan datang demi mengangkat nama bandar ini ke peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Sambutan hari kedua Pesta Ikan Bulu dijangka akan lebih meriah pada sebelah malam apabila berlangsungnya Pertandingan Akhir Ratu Ikan Bulu Sri Aman di Tebingan Sungai Sri Aman.
Tamat.
No comments:
Post a Comment