Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 July, 2009

Rayong cadang konsep 1 Malaysia 1 Engkilili di Engkilili


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

BETONG, Khamis (2 Julai) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa bercadang untuk menerap nilai konsep ‘1 Malaysia 1 Engkilili’ di kawasannya sendiri dalam masa lima tahun ini.

Ilham mengenai cadangan konsep ini menurut beliau timbul apabila konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilihat mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dalam memajukan negara sebelum Wawasan 2020.

“Konsep 1 Malaysia 1 Engkilili sesuai dilaksanakan di Engkilili memandangkan kawasan saya ini juga terdiri daripada rakyat berbilang kaum terutamanya Melayu, Cina dan Dayak.

“Jadi untuk mempertingkatkan kemajuan kawasan Engkilili ke peringkat lebih tinggi berbanding sekarang maka adalah amat sesuai bagi rakyat di kawasan ini bersatu-padu di bawah konsep 1 Malaysia 1 Engkilili dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian Pingkat Perkhidmatan Setia 2009 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Untuk menjayakan konsep 1 Malaysia 1 Engkilili, Rayong mahu para ketua kaum terutamanya para tuai rumah untuk mengamalkan konsep terbabit sebelum ianya diamalkan oleh rakyat di kawasan beliau.

Para pemimpin terutamanya ketua kaum di kawasan Engkilili menurut beliau perlu mengamalkan konsep ini terlebih dahulu agar rakyat berbilang kaum dalam kawasan ini mengikut jejak langkah mereka.

“Kejayaan penerapan nilai konsep 1 Malaysia 1 Engkilili ini akan membolehkan rakyat di kawasan saya lebih bersedia untuk menghadapi gelombang kedua politik pembangunan yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Lagipun projek agropolitan di kawasan Bukit Sadok (Betong) yang meliputi tujuh kawasan DUN termasuk Engkilili juga kini sedang dalam proses kelulusan...jadi semua rakyat di kawasan saya perlu bersedia untuk menjayakan projek pembangunan terbabit selepas ini,” katanya.

Justeru Rayong berharap agar rakyat di kawasan DUN Engkilili / Skrang untuk terus berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) memandangkan hanya kerajaan itu sekarang yang boleh melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini dari masa ke semasa.


Tamat.

No comments:

Post a Comment